Jajaran Seksyen C ECRL Kembali Ke Cadangan Asal

PUTRAJAYA, 5 April – Jajaran Seksyen C projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Mentakab ke Pelabuhan Klang kembali ke jajaran asal seperti yang dicadangkan pada tahun 2016-2017, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Sept 2020 telah meluluskan jajaran tersebut dan Kabinet pada 31 Mac lepas mahu pelaksanaan Seksyen C ECRL itu dilaksanakan serta-merta.

Wee berkata jajaran asal Seksyen C, yang juga dikenali sebagai Jajaran Utara, akan melibatkan laluan ECRL dari Mentakab ke Pelabuhan Klang melalui Bentong, Gombak dan Serendah berbanding Jajaran Selatan yang melalui Negeri Sembilan.

“Kementerian Pengangkutan sebagai pihak yang dipertanggungjawabkan bagi menyelia pelaksanaan projek ECRL mendapati Jajaran Utara akan meningkatkan kebolehmampuan projek ECRL dan seterusnya memberi lebih manfaat kepada ekonomi, alam sekitar dan sosial,” katanya dalam sidang media ECRL di sini hari ini.

Menurut Wee, Jajaran Utara itu atau Jajaran Seksyen C ECRL 3.0 dianggarkan merangkumi 201 kilometer (km) termasuk 32.4 km jajaran sisihan, manakala jajaran Seksyen C ECRL 2.0 yang dicadangkan kerajaan terdahulu melibatkan 185.5 km panjang termasuk 41.5 km jajaran sisihan.

Dengan perubahan terkini itu, Wee berkata keseluruhan jajaran ECRL 3.0 dari Kota Bharu ke Pelabuhan Klang adalah berjumlah 665 km berbanding 640 km sebelum ini.

Beliau berkata Jajaran Utara itu akan melibatkan pembinaan tujuh stesen iaitu Temerloh, Bentong, ITT Gombak, Serendah Baru dan Jalan Kastam di Pelabuhan Klang pada peringkat awal, manakala Puncak Alam dan Kapar di Selangor ditetapkan sebagai stesen perancangan masa hadapan.

“Temerloh, Bentong, Serendah Baru dan Jalan Kastam merupakan stesen penumpang dan kargo, manakala ITT Gombak sebagai stesen penumpang,” katanya.

Wee berkata Jajaran Utara ditambah baik kebolehmampuannya dengan memasukkan cadangan infrastruktur projek Serendah Bypass sebagai sebahagian daripada jajaran dan skop projek ECRL.

Beliau berkata Kementerian Pengangkutan mencadangkan jajaran ECRL di antara Serendah dan Pelabuhan Klang merangkumi dua jenis trek iaitu trek tolok standard iaitu 1.435 meter untuk ECRL dan trek tolok meter untuk Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).

Wee berkata trek tolok meter akan berfungsi sebagai laluan pintasan rel untuk kargo KTMB di antara Serendah dan Pelabuhan Klang.

Beliau berkata pembinaan Serendah Bypass amat penting kerana ketika ini kargo yang membawa muatan bahan kimia atau simen dari bahagian utara perlu melintasi pusat bandar Kuala Lumpur serta perjalanan memakan masa sejam 40 minit.

“Jadi kargo ini akan melalui jalan pintas dari Serendah ke pelabuhan di barat dan utara tanpa memasuki pusat bandar. Ini adalah faktor keselamatan dan kesesakan servis kargo yang dihadapi KTMB dapat diselesaikan,” katanya.

“Kerajaan Persekutuan kini dapat menawarkan penjimatan dari segi perbelanjaan infrastruktur dengan menawarkan cadangan ideal untuk melaksanakan dua projek rel pada satu harga,” katanya.

Wee berkata anggaran kos bagi ECRL Jajaran Utara atau ECRL 3.0 adalah RM50 bilion termasuk pembinaan Serendah ByPass.

“Walaupun pelaksanaan ECRL diubah kepada laluan asal iaitu Jajaran Utara, projek itu masih boleh disiapkan dalam masa tujuh tahun dan mula beroperasi pada 2027,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.