Fasa Kedua Program Imunisasi Bermula 19 April Di Lapan Negeri

PUTRAJAYA, 5 April – Fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi warga emas, orang kurang upaya dan golongan berpenyakit kronik akan bermula 19 April ini di lapan negeri, kata Menteri Penyelaras program itu Khairy Jamaluddin.

Negeri terbabit ialah Kedah, Melaka, Pulau Pinang, Pahang, Sabah, Sarawak, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Labuan manakala ia akan bermula lewat beberapa hari sahaja di negeri lain berikutan kesediaan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan persediaan staf, katanya.

Khairy berkata tarikh janji temu untuk penerima program itu juga akan mula dihantar mulai hari ini melalui aplikasi MySejahtera.

“Notifikasi akan dihantar sekurang-kurangnya 14 hari sebelum janji temu pemberian vaksin, peringatan tiga hari dan sehari sebelum melalui sistem pesanan ringkas dan pusat panggilan,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai perkembangan program itu di sini, hari ini.

Beliau berkata kehadiran adalah wajib bagi mereka yang telah berdaftar dan memilih butang hadir untuk menerima suntikan vaksin kerana perancangan rapi telah dibuat di setiap PPV, selain mengelakkan pembaziran vaksin.

Khairy berkata beberapa syor akan dikemukakan pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) bersama Kementerian Sumber Manusia esok, antaranya agar majikan membenarkan pekerja mereka hadir untuk sesi vaksinasi seperti yang ditetapkan.

“Majikan tidak boleh halang pekerja mereka daripada pergi ke sesi vaksinasi. Kita akan saran atau wajibkan majikan memberi cuti kepada pekerja tersebut untuk mendapatkan vaksin mereka. Keputusan mengenainya akan diumumkan kelak,” katanya.

Khairy berkata syor yang akan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara pula adalah melibatkan kebenaran rentas negeri bagi anak-anak untuk membawa tanggungan uzur di kampung ke PPV.

Mengenai penerima vaksin fasa pertama, Khairy berkata seramai 62,837 barisan petugas hadapan kesihatan masih belum menerima suntikan vaksin, antaranya anggota kesihatan kerajaan dan swasta, makmal kesihatan swasta, ambulans swasta dan pusat jagaan paliatif.

“Arahan juga telah diberikan agar mereka diberi keutamaan untuk diberikan vaksin dalam bulan April untuk kita selesaikan fasa pertama,” katanya.

Setakat ini, katanya seramai 7,906,913 individu telah mendaftar di aplikasi MySejahtera atau 32.6 peratus daripada populasi di negara ini, manakala 514,036 individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos di bawah program itu.

Lima negeri tertinggi bagi pemberian vaksin ialah Selangor dengan 106,660 dos, diikuti Perak (81,171), Sarawak (80,879), Sabah (73,125) dan Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur (71,562).

Putrajaya mencatatkan pendaftaran menerima vaksin paling tinggi dengan pencapaian ratio sebanyak 89 peratus, diikuti Selangor 45 peratus, dan WP Kuala Lumpur (44 peratus), katanya.

Negeri rendah pendaftarannya ialah Sabah sebanyak 12 peratus, Kelantan (20 peratus), Pahang dan Terengganu (26 peratus) dan Kedah 27 peratus serta tumpuan akan diberikan kepada kelima-lima negeri tersebut bagi meningkatkan kadar pendaftaran, katanya.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata sehingga kini, sebanyak 593 bebuli Pfizer-BioNTech tidak dapat digunakan berikutan masalah penyimpanan suhu iaitu melibatkan 585 bebuli ketika penghantaran oleh pihak Pfizer yang ditolak kembali kepada pihak Pfizer, manakala lapan bebuli pula rosak sewaktu penghantaran dalam negara. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.