PAU 2020 Saksi Perjuangan Tanpa Gentar

KUALA LUMPUR, 3 April – Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada Sabtu dan Ahad lalu menjadi saksi kepada sebuah perjuangan tanpa gentar.

Pemimpin dan para ahli UMNO sebulat suara menolak kerjasama dengan Bersatu dan PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Nah! Apa lagi mahu dipersoalkan wahai kluster apit lempang cencang galang, kluster broker, kluster oportunis? Cukup-cukup sudah.

Sebelum ini mereka tuduh saya Presiden UMNO memandai-mandai. Konon akar umbi mahu bersama Bersatu dan PN.

Kini mereka berhujah pula tanpa kerjasama Bersatu, mustahil UMNO boleh menang PRU15 dan menjadi kerajaan.

Hujah ini sedang gigih dicanangkan ketika ini. Namun ada banyak persoalan di sebalik hujah-hujah itu.

Persoalan pertama, bagaimana mereka begitu yakin UMNO akan tewas dan tidak mampu membentuk kerajaan tanpa Bersatu pada PRU15?

Kluster apit lempang cencang galang, kluster broker, kluster oportunis telah bertukar kepada ‘kluster pak nujum’ sekelip mata.

Begitu lemah jati diri selepas ‘lena diulit intan’. Seperti saya pernah katakan UMNO tahu apa yang UMNO perlu lakukan untuk menang PRU15.

InsyaAllah kita ada strategi terbaik. Cuma ia bukan lagi strategi jika terdedah kepada lawan politik.

Rakyat pun sudah belajar dari ‘dua siri pengalaman’ sejak PRU14 dan mengerti betapa fitnah yang telah menumbangkan UMNO.

Yang sebenarnya, tanpa UMNO mustahil Bersatu mampu menang PRU15 dan terus menjadi kerajaan. Bukan sebaliknya.

Persoalan kedua, wajarkah kita bekerjasama dalam sebuah kerajaan yang tidak menguntungkan rakyat dan negara?

Tidakkah kluster-kluster ini membaca segala rintihan dan keluh kesah yang dihadapi rakyat ketika ini?

Tidakkah mereka membaca laporan dalam dan luar negara mengenai ekonomi Malaysia yang terus merundum?

Maka tidakkah UMNO dikira berdosa jika melanggar amanah serta janji menjaga rakyat dan negara semata-mata mahu jadi sebahagian daripada kerajaan?

Persoalan ketiga, perlukah kita berada dalam sebuah kerjasama yang tidak jujur dan hipokrit, yang mahu ‘mendaulatkan’ individu tertentu?

Perlukah bekerjasama dengan musang berbulu ayam yang cuba menelan, menikam dan menguasai UMNO dalam diam?

Hukum akal mengajar manusia supaya bijak dan cermat berfikir. Mengapa UMNO mahu dibawa meredah kolam penuh buaya?

Persoalan keempat, siapakah yang akan mendapat keuntungan peribadi di sebalik kerjasama itu? Jangan malu jangan segan sila nyatakan.

Pemimpin dan ahli UMNO seterusnya sebulat suara memutuskan tiada kerjasama dengan DAP dan Anwar pada PRU15.

Presiden UMNO sendiri dengan tegas mengumumkan NO ANWAR, NO DAP di pentas perhimpunan.

Tidak ada perbincangan dengan mana-mana parti tersebut sama ada secara rasmi mahupun tidak rasmi.

Maka saya berkira tamatlah dakwa dakwi yang bukan-bukan oleh kluster broker tentang perkara ini. Ada masa boleh datang minta maaf.

UMNO juga mahu kekal jati diri sebagai parti tunjang orang Melayu bukanlah suatu keputusan yang melebih-lebih atau pentingkan diri.

Ini keputusan yang berpaksikan kepada kebenaran dan hakiki. Berlandaskan sejarah panjang perjuangan UMNO untuk bangsa agama.

Malah sejarah menyaksikan UMNO tidak pernah sekalipun sanggup bekerjasama dengan DAP. Walau kalah terus melawan.

Parti yang mereka puja-puja itu yang pernah bekerjasama mutlak dengan DAP untuk menumbangkan UMNO. Berpelukan dan bergandingan bahu.

Parti yang mereka agung-agungkan itu yang sanggup menarik sokongan beberapa pemimpin DAP yang terpalit dengan isu moral baru-baru ini demi mahu kekal berkuasa.

Justeru, tidak keterlaluan dikatakan tiada parti lain lebih Melayu berbanding Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. UMNO ‘The real’ Melayu Bersatu.

Tetapi ini tidaklah bermakna UMNO rasis atau assobiyah. Buktinya boleh dilihat sepanjang lebih 60 tahun BN mentadbir negara. Lihatlah sekeliling. Jelas UMNO menjaga kepentingan semua.

Sehubungan itu, nasihat saya pulanglah ke pangkuan UMNO dalam erti kata yang sebenar. Persona itu mengasyikkan. Tetapi maruah dan jati diri tiada galang ganti.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Presiden UMNO

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.