Program Malaysia Prihatin Platform Kempen Kesedaran Bahaya COVID-19, Kepentingan Vaksin

LENGGONG, 2 April – Kerajaan kini memanfaatkan sepenuhnya Program Malaysia Prihatin untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang bahaya COVID-19 serta pentingnya pengambilan vaksin bagi mencegah jangkitan itu, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Katanya setakat ini jumlah mereka yang mendaftar untuk pengambilan vaksin COVID-19 terlalu rendah.

“Dalam program Malaysia Prihatin ini kita berusaha untuk meningkatkan kesedaran dan bergerak bersama untuk menghentikan wabak COVID-19,” katanya dalam ucapan pada Program Malaysia Prihatin, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan jumlah mereka yang mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera semakin memperlahan dengan ketara.

Terdahulu hari ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dilaporkan berkata jumlah pendaftaran untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan diterima setakat ini hanya 7,625,478 orang atau 31.4 peratus daripada jumlah penduduk negara, dengan Selangor merekodkan angka tertinggi iaitu 2,085,983 pendaftaran.

Dalam ucapannya itu, Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong, mengulangi bahawa vaksin yang diberikan untuk meningkatkan imunisasi penerima adalah halal dan selamat.

“Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam sudah memutuskan bahawa hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan ditetapkan kerajaan,” katanya. – BERNAMA