BN Bawa Kemakmuran Kepada Negara, Bukan Seperti Pentadbiran 22 Bulan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 2 April – Pentadbiran Barisan Nasional (BN) di bawah UMNO selama enam dekad membawa kemakmuran kepada negara terutama dalam aspek ekonomi, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jelasnya rakyat boleh menilai sejauh mana kemajuan dan kegemilangan berlaku sejak negara mencapai kemerdekaan sehingga pentadbiran terakhir BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Negara ini gemilang baik dari segi ekonomi dan pentadbirannya. Ia berlaku di zaman kepimpinan UMNO.

“Adakah di zaman UMNO memimpin tiada lebuh raya, jalan raya, bangunan pencakar langit dan pengangguran tinggi? Pada zaman itu kita nikmati kemakmuran bersama.

“Parti ini tidak lain mahu memperjuangkan nasib agama, bangsa dan tanah air. Semua orang memperakui sejarah itu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata demikian sebagai respon ekoran tindakan seorang pengguna media sosial yang menurut jangkaan beliau adalah daripada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) yang bertindak memberikan komen seolah-oleh rakyat ditipu sepanjang pentadbiran kerajaan BN sebelum ini.

“Apabila saya membacanya, rasanya sangat kelakar dan boleh ketawa berguling-guling. Saya syak dan percaya ia bukanlah tulen sebaliknya akaun palsu.

“Walaupun ia akaun palsu yang berkemungkinan dibuat-buat oleh J-Kom, saya tetap mahu memberi penerangan supaya ia lebih jelas,” katanya lagi.

Pengerusi BN itu menyangkal dakwaan itu malah berkata penipuan itu hanya berlaku di bawah Pakatan Harapan dan pentadbiran bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertindak memperdaya rakyat demi kepentingan diri dan kroni.

“Saya sangat percaya rakyat biasa yang mempunyai akaun media sosial tidak meninggalkan komen sebegitu kerana mereka tahu pengorbanan dan sumbangan yang dilakukan oleh UMNO sejak berkurun lamanya.

“Saya rasa yang menipu itu adalah pemerintahan 22 bulan dan 22 tahun. Habis rosak semuanya. Saya fikir akaun palsu itu perlu memberi penerangan berkaitan 22 bulan dan 22 tahun ini.

“Sebab angkara 22 bulan itulah negara sekarang dibelenggu masalah ekonomi, pelaburan langsung asing jatuh teruk, rakyat sukar cari makan dan begitu ramai hilang kerja,” tegasnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.