Usah Terburu-Buru, Ambil Iktibar Peristiwa Lalu – Fairuz

KUALA LUMPUR, 1 April – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Fairuz Jamaluddin secara peribadi berpandangan usah terburu-buru mengeruhkan lagi keadaan untuk mengadakan pemilihan parti dalam tempoh getir ini lebih-lebih lagi Pilihan Raya Umum (PRU-15) sudah pun berada di persimpangan.

Soal beliau apakah masing-masing tidak belajar daripada pengalaman lalu dan adakah masing-masing mahu perkara seumpama ini kembali berulang dan akhirnya, pasti akan merugikan masa depan kaum Melayu itu sendiri.

”Kalau tanya saya, hendak buat pemilihan parti memanglah boleh, tetapi sebagai seorang ahli UMNO yang rasional, kita harus realistik, berfikiran jauh dan bertindak bersesuaian dengan situasi semasa.

“Pada dasarnya, Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang lalu telahpun dibuat ketetapan yang jelas dan diterima akar umbi. Semua perwakilan tegak berdiri menyatakan sokongan apabila Presiden bertanya tentang kesediaan perwakilan untuk menyerahkan mandat kepada Presiden dan (Majlis Kerta Tertinggi (MKT),” katanya menerusi catatan di Facebook.

Beliau seterusnya mengimbau sejarah sebelum ini yang mana dalam sejarah politik Malaysia, pemilihan parti merupakan perkara yang rumit dan berisiko tinggi.

Kalau tidak kena caranya tambah beliau lagi, habis huru-hara dan akhirnya bertelagah sesama sendiri selain berpecah dan menubuhkan parti baru.

“Kebelakangan ini, begitu hangat kedengaran isu tentang beberapa pihak yang amat ghairah mendesak supaya pemilihan parti segera diadakan sebelum PRU-15. Apakah anda lupa kisah penubuhan parti Semangat 46 (S46)? Tertubuhnya S46 pada tahun 1988 tak lain tak bukan berpunca daripada krisis pemilihan parti.

“Pada waktu itu, kekalahan Tengku Razaleigh Hamzah menentang Tun Mahathir Mohamad untuk jawatan Presiden UMNO menyebabkan UMNO berpecah dan terbahagi kepada dua puak. Lebih keruh, tak pasal-pasal UMNO diharamkan.

“Sama juga kisah penubuhan Parti Keadilan Nasional pada 1998. Semuanya gara-gara pemecatan Anwar Ibrahim daripada UMNO. Menggunakan retorik ‘Reformasi’ melalui Gerakan Keadilan Sosial (Adil), habis berpecah-belah orang Melayu. Kesannya, prestasi UMNO merudum teruk dalam PRU 1999,” tambahnya.

Tambah beliau lagi, jika di luar UMNO pula, kisah penubuhan Parti Amanah Negara (PAN) sama sahaja ceritanya setelah beberapa pemimpin Pas yang bertanding merebut jawatan tertinggi telah kalah teruk pada muktamar tahunan PAS 2015.

“Kemudian, dikepalai Mohamad Sabu, beramai-ramai keluar daripada Pas untuk menubuhkan parti baru. Semuanya gara-gara pemilihan parti. Lebih kurang kisahnya dengan penubuhan PKR, Parti Peribumi Bersatu (PPBM) pun lahir selepas pemecatan Tan Sri Muhyiddin dalam kepimpinan kerajaan.

“Tak lama pun bertahan, kemudian berpecah lagi. Ditubuhkan pula parti cebisan PPBM iaitu PEJUANG selepas Mahathir dan anaknya, Datuk Mukhriz, Amiruddin Hamzah, Syed Saddiq dan Maszlee Malik digugurkan keahlian daripada PPBM,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.