Pasca PAU 2020: Jangan Selar UMNO Atas Jihad Dan Pengorbanannya- Dr Najmil

KUALA LUMPUR, 1 April – Keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU) baru-baru ini menyebabkan musuh-musuh parti berkenaan melemparkan pelbagai persepsi termasuklah kononnya UMNO tamak dan gila kuasa.

Exco Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata sedangkan hakikat yang sebenar adalah sebaliknya malah situasi tindakan drastik tersebut memerlukan semua pihak memahami maksud tersirat di sebalik keputusan majoriti pewakilan UMNO dan pucuk pimpinan tertinggi parti.

Menurut beliau sebenarnya selama satu tahun DNA UMNO inilah yang telah banyak berkorban cuma tidak diceritakan kepada rakyat secara terang-terangan dan hasil daripada tindakan UMNO ini maka ramai di luar sana cuba menangguk di air yang keruh dan mewujudkan gelombang anti-Presiden UMNO dan anti-UMNO sebagai tambahan kepada anti kluster mahkamah.

“Benarkah tindakan UMNO dilihat satu kesilapan dan sejauh mana ia memberi impak kepada negara, rakyat dan UMNO sendiri?”

Katanya, pada hakikatnya, rakyat kini sedang menilai pretasi kerajaan melalui keupayaan individu menteri itu sendiri dan dari mana parti diwakilinya.

“Rakyat juga melihat kerajaan PN yang ada pada hari ini tidak mempunyai kestabilan politik dan keupayaan ekonomi juga tidak kelihatan akan ‘rebound’ seperti negara-negara jiran yang berhadapan pandemik COVID-19 jauh lebih teruk dari negara kita.

“Secara jelas kita boleh klasifikasikan kerajaan PH dan PN yang dikepalai oleh parti minoriti Bersatu adalah kerajaan yang lemah dan tidak ada hala tuju apabila Bersatu dilihat terlalu menonjol menghalalkan kluster katak.

“Corak lompat katak ini telah mewujudkan satu fenomena baru iaitu mengambil kesempatan dan ambil apa yang sempat!”

Jelasnya, inilah yang dibimbangi oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan juga pewakilan UMNO seluruh negara.

“Kami bimbang dan risau apabila Bersatu tidak ikhlas dalam ikatan kerjasama ini. Sebagai contoh, lihatlah kerusi parlimen UMNO sebelum ini menang di curi Bersatu. Lalu Bersatu tidak mahu memulangkan kembali kerusi milik UMNO.

“Pada hakikatnya, tanpa usaha kerja keras ahli-ahli UMNO, tidak mungkin kerusi itu dimenangi oleh ahli Parlimen tersebut. Sekarang UMNO dituduh gila kuasa di atas kerusi asal miliknya sendiri? Logikkah tuduhan itu untuk UMNO?” katanya dalam satu catatan di facebook hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu menjelaskan hakikat sebenarnya, Menteri, Timbalan Menteri dan pengerusi GLC yang terdiri dari DNA UMNO inilah yang sekarang menjadi tunjang kekuatan kepada kerajaan PN kini.

“Kehadiran UMNO memberi sokongan kepada PN tentunya adalah satu jihad dan pengorbanan yang sangat besar dan bernilai kepada agama, negara dan bangsa. Namun demikian, jika sekiranya UMNO terlalu kelihatan bertolak ansur, takut lama-lama UMNO akan ditolak beransur-ansur oleh Bersatu.

“Kita dapat melihat bagaimana kecekapan menteri UMNO dalam melaksanakan tugas mereka secara serius, ikhlas dan mempunyai semangat berpasukan.”

Ujarnya, Menteri UMNO seperti Datuk Seri Ismail Sabri disayangi rakyat kerana bertanggungjawab menjaga keselamatan rakyat dan negara. 

“Begitu juga, Datuk Seri Adham Baba yang menjadi individu penting dalam menurunkan penularan COVID-19, Khairy Jamaluddin yang bertanggungjawab dalam mendapat vaksin untuk rakyat. Sama juga seperti Datuk Seri Hishammudin Hussein yang berperanan memperbaiki hubungan diplomatik Malaysia dengan negara luar setelah dirosakkan pemimpin PH dahulu.

“Saya amat yakin tanpa menteri dari DNA UMNO ini, kerajaan PN ini tiada bezanya dengan kerajaan PH dalam mengurus tadbir negara kerana mereka adalah dari serpihan yang sama. Ternyata dalam apa jua keadaan sekalipun, DNA UMNO telah membuktikan kepada rakyat bahawa UMNO adalah parti yang relevan dari dulu, kini dan selamanya.”

Tegasnya, DNA UMNO adalah tunjang kepada kemajuan negara yang diperlukan oleh rakyat dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO bertanggungjawab menjaga mutiara-mutiara ini dari dicuri orang atau ditolak secara beransur-ansur sehingga hilang. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.