Pemilihan UMNO Sebelum PRU15 Boleh Cetus Keretakan, Pecah-Belah Parti – Najib

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Pemilihan UMNO sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) boleh membawa keretakan dan memecah-belahkan parti selain membolehkan calon yang kalah ‘dicuri’ oleh parti lain, kata Ketua Bahagian UMNO Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas presiden parti itu berkata banyak pihak sedang menunggu untuk melemahkan UMNO dengan cara sedemikian.

“… dia (parti lain) akan tunggu pemilihan dalam UMNO, jadi serpihan daripada mereka yang kalah itu akan dipelawa atau dipujuk atau ditawar untuk masuk parti mereka,” katanya kepada pemberita selepas ucaptama bagi majlis penutup Forum Demokrasi Malaysia: Merangka Masa Depan Demokrasi Parlimen di Malaysia di sini semalam.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian sebagai mengulas gesaan bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang mahu pucuk pimpinan UMNO agar mengadakan pemilihan parti itu dengan segera bagi menyelesaikan kemelut dalamannya.

Khairy berkata pemilihan seharusnya dijalankan tahun ini tanpa perlu menunggu selepas PRU yang akan datang.

Najib turut menyentuh keperluan menggubal akta Parlimen bagi mengawal selia sumbangan dan pembiayaan politik sebagai menjalankan aktiviti politik sama seperti aktiviti lain yang melibatkan kos.

“Sekiranya anda adalah entiti perniagaan, anda mencari dana dengan menjual ekuiti, berhutang dan menerusi pelbagai aktiviti kutipan derma. Tetapi persoalannya sekarang ialah bagaimana sesebuah parti politik melakukannya, dan berbuat demikian dalam skala yang cukup besar bagi menampung kos yang berkaitan?

“Jadi, jika seseorang ingin menyaksikan kematangan demokrasi kita sebagai demokrasi yang moden dan berfungsi, kita perlu mengawal selia semua aktiviti yang dikaitkan dengan pembiayaan politik. Kita tidak boleh lantang bersuara mengenai keyakinan kita mengenai ketelusan dan tadbir urus kecuali kita turut bersetuju untuk menerapkan mekanisme ini,” katanya.

Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula bersetuju pemilihan UMNO dipercepat dengan syarat pemimpin yang mempunyai jawatan dalam kerajaan mengundurkan diri.

Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 berkata pemilihan parti perlu diadakan pada tahun ini tetapi keutamaan harus diberikan kepada PRU15. – BERNAMA