Isu LKM: PDRM Dan JPJ Perlu Diselaraskan Arahan, Agar Tiada Kekeliruan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi berharap agar kerajaan menasihatkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya sebelum melakukan sesuatu pengumuman hendaklah berbincang terlebih dahulu sesama sendiri.

Tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, adalah lebih baik diselarikan arahan supaya tidak mengelirukan orang awam dalam penguatkuasaan kerana dalam situasi ekonomi meleset, perlu difahami bahawa rakyat kekurangan wang apatah lagi untuk membayar saman.

Ahmad Zahid berkata demikian dengan merujuk kepada laporan media berhubung seorang pemandu kereta yang disaman polis kerana gagal mempamerkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) jam 8.45 malam pada 19 Mac lalu walaupun telah menunjukkan bukti ‘e-cover note’ insurans dan memaklumkan pengecualian LKM sebagaimana pengumuman Kementerian Pengangkutan.

Media melaporkan kejadian itu berlaku dalam sekatan jalan raya di Kilometer 11.9 Lebohan Dagang, Nilai, Negeri Sembilan

“Saya percaya ia bukan kesalahan pemilik kenderaan tetapi kekeliruan itu berlaku dalam kalangan anggota polis. Mungkin juga mereka tidak dimaklumkan pihak JPJ berhubung dasar yang dilaksanakan.

“Pada 10 Februari lalu, saya ada mengenengahkan masalah ini. Ia berikutan Kementerian Pengangkutan mengumumkan pengecualian pembaharuan LKM bermula 1 Februari hingga 31 Mac 2021.

“Maka, pemilik kenderaan hanya perlu memperbaharui insurans sahaja. Jika ditahan pihak berkuasa pemilik kenderaan perlu menunjukkan bukti ‘e-cover note’ insurans dan memaklumkan polis mengenai pengecualian pembaharuan LKM,” ujarnya dalam satu catatan di Facebook pagi ini.

Tambah Ahmad Zahid, pihak JPJ ketika itu tidak membenarkan aktiviti memperbaharui cukai jalan di pejabat mereka atas alasan bagi memudahkan rakyat sekaligus mengekang penularan COVID-19.

“Walaupun pelaksanaan itu dijalankan sudah ada ura-ura mengatakan pemilik kenderaan masih disaman polis walaupun mereka menunjukkan e-cover note.

“Tetapi apa yang berlaku baru-baru ini amat dikesalkan. Persatuan Wakil Takaful Am Muslim (PERWATAM) turut mempertikaikan tindakan itu,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.