Taman Marin Teluk Darvel Dan Taman Terumbu Mantanani Akan Diwartakan Bagi Melindungi Biodiversiti Marin Sabah

KUDAT, 30 Mac – Dua taman marin di Sabah iaitu Teluk Darvel di Lahad Datu dan Taman Marin Terumbu Mantanani di Kota Belud, sedang dalam proses untuk diwartakan bagi melindungi biodiversiti marin di kawasan perairan negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata pada masa ini terdapat enam taman marin di negeri itu yang diurus agensi pemuliharaan alam sekitar kerajaan negeri Taman-Taman Sabah (TTS), dan kerajaan sedang dalam proses untuk menambah beberapa kawasan taman marin baharu.

“Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) komited untuk memastikan biodiversiti marin khususnya memastikan ekosistem habitat terumbu karang terus terpelihara, mementingkan aspek keselamatan makanan, sara hidup mampan dan pembangunan ekopelancongan di perairan dan kepulauan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan kapal ‘Si Buding’, sempena lawatannya ke Taman Tun Mustapha (TTM) di sini, hari ini.

Enam taman marin diurus TTS ialah Taman Tunku Abdul Rahman, Taman Pulau Tiga, Taman Pulau Sipadan, Taman Pulau Penyu, Taman Marin Tun Sakaran dan TTM manakala tiga lagi taman di daratan iaitu Taman Kinabalu, Taman Bukit Tawau dan Taman Banjaran Crocker.

Dalam pada itu, Jafry berkata usaha melindungi terumbu karang seperti di TTM perlu dilaksanakan secara holistik dengan kerjasama semua pihak.

Beliau berkata TTM dengan lautannya meliputi kawasan seluas 898,762.76 hektar bukan sahaja menjadi sebagai taman marin pelbagai guna terbesar di negara ini tetapi juga sebagai sebahagian daripada santuari ikan jerung atau yu spesies yang diancam kepupusan.

Terdahulu, Jafry melancarkan kapal yang diberikan nama ‘Si Buding’ sempena nama panggilan tempatan ikan Jerung Paus atau nama saintifiknya ‘Rhincodon Typus’ sejenis ikan terkenal dengan sifatnya yang jinak, berenang secara perlahan-lahan dan boleh dijumpai di perairan Sabah.

Kapal Si Buding berperanan sebagai pejabat bergerak untuk TTM bagi aktiviti rondaan selain digunakan untuk membawa dan menghantar bantuan makanan di kawasan komuniti di TTS, katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.