No Dap, No Anwar, No Bersatu… PRU15 BN Tanding Bersendirian, Tegas Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pendirian UMNO amat jelas bahawa ‘No Dap, No Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim-PKR) dan No Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia)’ selaras dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sebelum ini.

Jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga, tidak ada sebarang perundingan yang melibatkan kepimpinan parti dengan parti tersebut sama ada secara rasmi ataupun tidak.

“Perlu saya tegaskan pendirian UMNO tetap kita akur dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi, ‘No Dap..No Anwar… No Bersatu’.

“Tidak ada perbincangan sama ada saya atau timbalan atau mana-mana pemimpin dengan mana-mana parti yang saya sebutkan tadi secara rasmi atau tidak rasmi terutama dengan PKR atau Dap. Tidak ada.

“Yakin dengan kami, percaya dengan kami Insya-Allah UMNO didahulukan. Pendirian ini jelas. Saya ulangi pendirian ini jelas,” tegasnya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini hari ini.

Jelasnya juga, perundingan hanya berlaku setelah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) setelah UMNO menjadi dominan dalam pembentukan kerajaan.

“Kalau kita mahu berunding pun bukan sekarang, kalau mahu berunding pun selepas kita dominan selepas PRU-15. Setuju?” tanyanya sambil dijawab setuju oleh perwakilan dan beliau memohon Pengerusi Tetap Persidangan Tan Sri Badruddin Amiruldin mengambil perhatian perkara berkaitan.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid juga berkata berdasarkan realiti politik semasa, BN memutuskan akan menghadapi PRU-15 secara bersendirian.

“Bukan riyak atau takabur, kita akan bertanding atas nama BN dan logo dacing. Biar saya jelaskan, once and for all, untuk UMNO menjadi dominan semula selepas PRU-15, pertamanya, kita mesti menang kerusi terbanyak. Kedua, BN perlu menentukan parti mana yang benar-benar ikhlas dan jujur untuk membentuk kerajaan bersama kita,” katanya.

Begitu juga jelasnya dominan bukan bermaksud UMNO angkuh.

“UMNO adalah parti terbesar bangsa Melayu. UMNO adalah parti terbesar di negara ini. Apabila UMNO tidak menjadi tonggak kepimpinan negara ini, rakyat tidak lagi mengecapi kestabilan. Selama 22 bulan rakyat merana, Raja-Raja Melayu dihina, kepentingan Melayu diketepikan, Islam dicabar, Bahasa Kebangsaan diremehkan, aset-aset negara dilelong termasuk aset Tabung Haji (TH) dengan sewenang-wenangnya.

“Kita bukan ego. Kita bukan angkuh. Kita tidak naif. Kita bukan juga anak kecil yang boleh diperlakukan sembarangan. Kita menolak pembelot dan pengkhianat. Kita tidak mahu makhluk perosak yang memusnahkan parti. Budaya lompat parti semakin menjadi-jadi. Pengundi dan rakyat dikhianati. Jawatan dan habuan atau ghanimah ditukar dengan maruah diri. Apakah budaya ini menjadi amalan yang akan diwarisi?” tanya lagi.

Ahmad Zahid juga berpesan kepada semua ahli agar sentiasa bermuhasabah terutama ketika berada di dalam kekuasaan dan kesenangan.

“Ingatlah, Allah sentiasa menguji kita, sama ada sedar atau tidak. Allah menguji kita dengan kepayahan sewaktu 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah. Allah menguji kita dengan kekuasaan dan kesenangan apabila kita menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Namun, kita lebih mudah tewas kepada ujian kekuasaan dan kesenangan berbanding ujian kepayahan. Jangan gunakan istilah “jangan ambil kesempatan, ambil mana yang sempat”. Jaga imej UMNO, BN sebab rakyat memerhatikan kita,” pesannya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.