SPR Pernah Kata Undi 18 Selewat-lewatnya Julai Tahun Ini, PKP Bukan Alasan – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pernah menyatakan pada 7 Jun tahun lalu bahawa persiapan bagi pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik akan diselesaikan selewat-lewatnya Julai tahun ini.

Ujar Menteri Luar itu, kenyataan SPR tersebut dikeluarkan selepas negara mula dilanda krisis COVID-19.

“Justeru, SPR sepatutnya sudah ada perancangan jelas untuk pastikan sasaran Julai 2021 dapat dicapai. Penangguhan melebihi satu tahun dengan alasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak munasabah. PKP bukan baru dilaksanakan tahun ini.

“Perlu diingat, pindaan Perlembagaan untuk melaksanakan Undi 18 dan pendaftaran automatik telah mendapat sokongan sebulat suara kesemua Ahli Dewan Rakyat pada Julai 2019 termasuklah saya sendiri sebagai Ahli Parliman Pembangkang pada masa itu. Ini bermakna, dari sudut persetujuan parti-parti politik, sudah tidak ada masalah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin juga berkata kenyataan SPR yang memaklumkan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik hanya akan dibuat selepas 1 September 2022 adalah mengecewakan.

“Malah, saya pernah sebut sejurus ia diluluskan bahawa melaksanakan Undi 18 dan pendaftaran automatik adalah tepat dan perlu kerana tiga sebab – ia dipersetujui sebulat suara secara konsensus; ia mengupayakan belia; dan ia amanah serta tanggungjawab belia.

“Justeru, saya meletakkan harapan tinggi agar semua pihak dapat berganding bahu dan bersungguh-sungguh dalam menjayakannya demi kebaikan dan masa depan negara.

“Saya juga akan sampaikan kepada kepimpinan agar kerajaan dapat ambil tindakan yang sewajarnya agar perkara ini dapat dijayakan seperti yang dirancangkan,” jelasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.