PN Jangan Warisi Kepincangan Kerajaan PH, Tegas Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata walaupun kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah jatuh tetapi masih banyak lagi isu tertunggak yang diwariskan kepada kerajaan hari ini yang belum tuntas penyelesaiannya.

Ketika menyampaikan ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di sini hari ini, Dr Asyraf menimbulkan pertanyaan mengenai status tuntutan rakyat berhubung beberapa kes seperti penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat segala dakwaan salah laku dan penyelewengan dalam Tabung Haji (TH) dan keadilan buat anggota Bomba Allahyarham Adib Kassim yang dibunuh kejam sebagaimana dapatan Inkues.

Begitu juga Dr Asyraf merujuk kepada kes mahkamah pimpinan PH yang digugurkan atau ditarik balik termasuk kes banglo dan terowong Lim Guan Eng, wakil rakyat Dap dalam aktiviti pengganas Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) serta kes moral melibatkan individu yang kini menyokong kerajaan.

“Semuanya ini umpama ‘Bangkai Gajah yang tak dapat ditutup hanya dengan nyiru’, baunya yang semerbak pasti terpalit juga ke badan kita. Kepincangan zaman PH tidak wajar didiamkan begitu sahaja, kelak kita akan dikaitkan bersama. Melainkan kita rela membenarkan tanggapan ramai betapa roh PH sudah mulai meresap masuk ke jasad Perikatan!

“Usahlah berdalih lagi. Jangan menggunakan madah Penyatuan Ummah bagi mempertahankan kelemahan. Jangan berselindung disebalik slogan ‘No Anwar No Dap’ bagi menyembunyikan agenda peribadi mempertahan kedudukan. Janganlah diulangi perangai PH lalu yang hanya pandai menabur janji tetapi semuanya ‘dicapatikan’,” tegasnya lagi.

Soalnya lagi, jika benar dakwaan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) kunci kepada perubahan, maka mengapakah polisi PH yang selama ini dilawan masih lagi dikekalkan.

Begitu juga dengan isu tuntutan penubuhan RCI menyiasat segala pendedahan bekas Peguam Negara Tommy Thomas dalam bukunya ‘My Story: Justice in the Wilderness’, yang jelas menggambarkan wujud pendakwaan terpilih; wujud campur tangan politik dalam badan pengadilan dan kehakiman; bahkan wujud penyalahgunaan kuasa dalam perlantikan Hakim yang masih didiamkan oleh kerajaan.

“Bagaimana pula dengan kes perhimpunan pro-komunis di sebuah kolej swasta Kajang? Atau kes penyeludupan abu mayat Chin Peng? Mahupun isu Buku Teks Sejarah yang dimanipulasi fakta mengagungkan komunis hingga mengecilkan peranan polis, tentera dan anggota keselamatan negara?” soalnya.

Tambah menjengkelkan, di manakah keadilan apabila pemimpin UMNO yang kononnya terima peruntukan daripada sumber 1MDB didakwa sedangkan individu yang terima peruntukan serupa tidak pula didakwa malah terus menjadi suci apabila melompat ke parti Bersatu, bahkan boleh diangkat pula menjadi Menteri.

“Di manakah keadilan jika anggota keluarga bekas Gabenor Bank Negara yang mengaku mengetahui tentang ratusan juta wang 1MDB di dalam akaun mereka tidak pula didakwa, sedangkan pemimpin UMNO begitu pantas dihadap ke mahkamah pengadilan?

“Jadi siapa sebenarnya yang khianat? Siapa yang tidak jujur dalam muafakat? Sekiranya ikhlas, kenapa amalan pendakwaan terpilih warisan PH masih diteruskan?” bidasnya lagi. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit