Bezakan Politik Populis Dan Politik Bertanggungjawab, Jauhi Khianat Demi Masa Hadapan – Zahida

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata anak muda mesti diajar membezakan apa itu politik populis dengan politik bertanggungjawab.

Ini kerana katanya, anak muda mesti dididik tentang bahayanya ‘politik khianat’ dan ‘politik dedalu’ yang membahayakan masa hadapan negara.

“Kita perlu berwaspada mungkin ada musang berbulu ayam di kalangan kita kerana sel kanser bermula dengan satu titik dan kalau tidak dirawat awal barah menjadi parah. Mungkin rawatan kemoterapi diperlukan atau pun potong buang terus bahagian terlibat. Jika tidak ia akan merebak memudaratkan dan membawa maut kepada kita. Awas, ular tetap ular, bersalinlah kulit berkali kali pun ia tetap ular,” katanya.

Beliau berkata demikian dengan penuh semangat semasa menyampaikan ucapan dasar Ketua Puteri UMNO yang menandakan persidangan sayap UMNO itu bermula, hari ini.

Zahida menegaskan bahawa, anggota Puteri akan terus bersama Presiden dan parti yang bergerak dan berjasa bukan hanya ketika berkuasa kerana telah terbukti bahawa tanpa kuasa pun Puteri UMNO telah menaburkan khidmat di mana-mana.

“Semuanya atas keikhlasan dan tanggungjawab, atas cinta kepada negara dan bangsa.

“Pergerakan Puteri akan terus bersuara lantang demi survival UMNO. Kita perlu sedar dulu mereka hina UMNO, tapi sekarang harap UMNO bersama mereka. Mereka kata UMNO sudah rosak, tapi sekarang mereka terhegeh-hegeh dan menagih sokongan UMNO.”

Tegasnya, anggota parti tidak perlu pening-pening nak melayan kerenah mana-mana pihak sebaliknya fokus untuk terus perkuatkan parti.

“Kita terus tarik sokongan atas pagar, anak muda jangan dilupakan, kita betulkan persepsi negatif netizen kepada UMNO, paling penting agenda bantu rakyat, santuni rakyat, faham denyut nadi rakyat, itu yang kita utamakan. Sampai masa kita rentap, singsing lengan mara ke gelanggang. Biar rakyat tentukan logo mana menjadi pilihan.”

Dalam masa yang sama, beliau turut menyentuh berkaitan hubungan antara UMNO dengan PPBM yang hanyalah sehingga Parlimen dibubarkan dan tiada sebarang kerjasama dengan PPBM pada PRU ke-15 nanti.

“Keputusan parti mesti dihormati. Prinsip parti menguasai kerajaan mesti kita pertahankan.

“Kita tidak rela, orang yang pernah kita sanjung, kita angkat dan kita berkorban untuk mereka bergantayangan, mengilai, mempersendakan parti kita apabila berada bersama di ‘kandang pengkhianat’.”

Beliau turut mengulas berkaitan undi 18 yang dianggap menangani masa depan dengan mendokong perubahan yang berlaku bagi meletakkan peranan besar orang muda dalam mencorakan masa depan negara.

“Ini termasuk undi 18 dan pendaftaran automatik untuk mereka. Tidak ada pandang belakang atas keputusan yang telah dibuat.


“Tidak ada alasan untuk melengahkan perlaksanaanya. Jika ada yang berkata mereka tidak cukup matang untuk memikul tanggungjawab ini, maka kita tuntut kerajaan
segera melaksanakan langkah drastik untuk mematangkan mereka dalam tempoh yang terdekat.

“Ini termasuk memasukan sukatan apresiasi demokrasi seawal usia 16 tahun. Mereka harus diajar tentang pentingnya mengundi dan mengenal apa yang dimaksudkan kerajaan yang baik. Apa itu parlimen dan tanggungjawabnya,” katanya.

Dalam hal yang lain, beliau mempersoalkan kenapa kerajaan PN teruskan agenda penjualan aset negara Gagalkrasi PH?

“Khazanah Nasional telah menjual RM8 bilion aset miliknya. Petronas menjual lebih RM6 bilion kepentingan sahamnya, Permodalan Nasional Bhd (PNB) melupuskan dana unit amanahnya lebih 56%. Kenapa aset-aset kepentingan Melayu dan Bumiputera yang dijual?”

Menerusi ucapannya, Zahida turut menekankan berkaitan kepentingan vaksin dengan menggesa agar pelaksanaan vaksinasi perlu disegerakan, termasuklah mempertimbangkan kaedah yang lebih menyeluruh, seperti melibatkan semua klinik-klinik swasta untuk membantu perlaksanaanya seberapa segera .

“Kita SOKONG VAKSIN. Kita bukan anti vaksin. Bahkan kita dan pergerakan Pemuda UMNO turut bersama menjalankan kempen Jom Daftar Vaksin di seluruh negara.

“Kita menganggap Vaksin adalah ekonomi. Menyegerakan vaksin menyegerakan pemulihan ekonomi. Vaksin juga demokrasi. Menyegerakan vaksin akan menyegerakan demokrasi berperanan kembali,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit