Undi 18: Menteri Kata Paling Lewat Julai 2021, SPR Pula Selepas 1 Sept 2022… Penjelasan?

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan menimbulkan persoalan mengapa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun hadapan.

Tegas Ahli Parlimen Pontian itu, ini berlainan dengan apa yang disebut oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat pada 3 Nov tahun lalu.

“Dalam Parlimen, Dewan Rakyat Menteri Datuk Seri Takiyuddin sebut daftar automatik dan undi 18 paling lewat bermula Julai 2021.

“Mengapa pula SPR sebut selepas 1/9/22? Ini tidak baik kepada perjalanan demokrasi di Malaysia,” tegas Ahmad di dalam Twitter.

Berhubung perkara tersebut juga, Ahmad turut memohon penjelasan dari pihak kerajaan adakah penangguhan atas alasan sebab-sebab politik.

“Atau penangguhan ini ada sebab-sebab politik kerajaan? Mohon jelaskan,” ciapnya lagi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat petang semalam berkata bersandarkan kepada situasi semasa negara terdapat kekangan pihaknya bagi melaksanakan pindaan had kelayakan umur pengundi itu ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.

Untuk rekod, pada 3 Nov tahun lalu di dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Takiyuddin berkata kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai tahun ini.

Pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun dengan mendapat lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan.

Begitu juga pada 25 Julai tahun yang sama, ia diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.