Pemakluman SPR Undi 18 Mengecewakan, Ada Pindaan Boleh Dilaksana Terlebih Dahulu – Reezal

PUTRAJAYA, 26 Mac – Pemakluman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lewat petang semalam berkenaan pelaksanaan Undi18 sememangnya mengundang rasa kecewa dan terkilan khususnya khususnya para belia dan anak muda.

Menurut Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, sebagai antara orang yang bangun dan mengundi pindaan Perkara 47, Perkara 119 dan Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan pada 25 Julai 2019, kenyataan SPR pastinya turut membangkitkan kekecewaan baginya.

“Saya juga telah menyatakan beberapa kali dan dilapor media bahawa pendirian saya dan rakan-rakan ahli Parlimen yang lain tidak berubah.

“Sokongan 211 orang Ahli Parlimen adalah untuk melihat satu proses demokrasi yang lebih meluas dapat diberikan kepada rakyat,” ujar Ahli Parlimen Kepala Batas itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, pindaan Perlembagaan tersebut merangkumi empat perkara perkara iaitu:
(i) Penurunan umur layak undi menjadi pengundi kepada 18 tahun;
(ii) Penurunan umur layak menjadi calon ahli Dewan Rakyat kepada 18 tahun;
(iii) Pendaftaran automatik sebagai pengundi kepada 18 tahun; dan
(iv) Penurunan umur 18 tahun menjadi ahli Dewan Undangan Negeri.

Dalam hal ini saran Reezal yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, SPR boleh melihat juga sekiranya ada di antara komponen pindaan tersebut boleh dilaksanakan terlebih dahulu tanpa menunggu yang lain.

“Kelayakan mengundi dan menjadi calon pada umur 18 tahun mungkin boleh difikirkan oleh SPR supaya boleh dilaksanakan terlebih dahulu. Ini sekali gus memberi ruang ‘democratic participation’ kepada anak muda untuk segera mendaftar sebagai pemilih sebelum pendaftaran secara automatik dikuatkuasakan.

“Ini juga bermakna, anak muda masih diberi ruang untuk bersama-sama dalam satu proses penting sebuah negara demokrasi,” katanya.

Oleh kerana itulah tambahnya, libat urus berterusan bersama-sama dengan pihak berkepentingan seperti badan bukan kerajaan (NGO), parti politik, kumpulan fokus, kerajaan negeri, aktivis belia dan sebagainya perlu diperhebat.

“Anak muda perlu sentiasa perlu didampingi dan diajak bersama oleh SPR dalam apa jua gerak kerja yang sepenting ini.

“Mengundi adalah hak setiap warganegara dan jaminan untuk Undi18 dilaksanakan merupakan komitmen besar yang perlu digalas oleh SPR,” tegasnya lagi.

Untuk rekod, Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat petang semalam berkata bersandarkan kepada situasi semasa negara terdapat kekangan pihaknya bagi melaksanakan undi 18 ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19 dan hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun hadapan.

Ini berbeza dengan jawapan bertulis Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) di Dewan Rakyat pada 3 Nov tahun lalu yang berkata kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai tahun ini.– UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.