PAU2020 Diharap Noktahkan Segala Persoalan Dalam UMNO – Ketua Penerangan UMNO
KUALA LUMPUR, 26 Mac – Persidangan Agung UMNO (PAU) 2020 pada hujung minggu ini, diharapkan menjadi platform untuk menoktahkan segala persoalan yang timbul mengenai isu dalaman parti dan hubungan UMNO dengan parti politik lain.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berharap segala masalah yang timbul dalam UMNO dapat dijernihkan sekali gus memperkukuhkan parti sebelum menghadapi pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
“Perkara (menoktahkan persoalan) ini penting bagi membolehkan kita (UMNO) benar-benar bersedia masuk ke fasa persiapan untuk menghadapi rakyat (PRU15).
“Mungkin (ada) isu panas akan disentuh pada PAU2020, namun saya yakin kerana UMNO adalah satu parti yang sudah lama dan ada banyak pengalaman atau ada ‘institutional memory’ untuk menguruskan isu-isu panas (dalam persidangan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel jemputan dalam program Ruang Bicara yang siarkan di Bernama TV malam tadi.
PAU 2020 dijadualkan berlangsung pada 27 dan 28 Mac (Sabtu dan Ahad) ini dengan pelaksanaannya secara hibrid iaitu kombinasi perhimpunan secara bersemuka dan maya. – BERNAMA