Malaysia Menggaul Resipi Menuju Kehancuran Diri? Soal Zahida

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan menimbulkan persoalan apakah kesan kepada masa hadapan negara berhubung tahap hutang negara telah mencapai 62% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz minggu ini.

Menurut Zahida, mereka yang bekerja akan memahami implikasinya.

“Bila kita ingin membuat pinjaman, bank akan meletakkan siling pinjaman yang kita boleh pohon kepada 1/3 gaji kita, atau 33%. Mengapa? Inilah jumlah yang kita mampu urus dengan baik dengan tahap gaji yang kita ada.

“KDNK adalah gaji negara, tapi mengapa Malaysia boleh meminjam sampai 62% dari gaji negara. Tentulah dengan kadar faedah yang lebih tinggi kerana risiko ketidak upayaan membayar balik kelak.

“Itu asas pengurusan kewangan negara. Parlimen telah menetapkan siling yang kerajaan semasa boleh pinjam pada tahap 60% KDNK. Adakah kita telah menaikan kadar siling ini tanpa pengetahuan umum?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambahnya, yang lebih menakutkan ialah KDNK menurun dan mungkin ini akan menaikan lagi kadar hutang negara.

“Ditambah pula dengan kelembapan ekonomi dengan ketiadaan FDI (pelaburan asing) dan penutupan secara besar-besaran kilang-kilang yang sedia ada. Ini adalah ‘perfect storm’ kepada resipi kepada kehancuran diri.

“Dengan hutang yang tinggi, faedah yang perlu dibayar setiap tahun akan menjadi terlalu tinggi untuk ditanggung negara. Jumlah faedah ini juga, wang yang sepatutnya boleh menampung pembangunan negara. Pembayaran faedah ini akan membantutkan perkembangan negara,” jelasnya.

Tegasnya juga, apabila tahap hutang tidak lagi dapat ditanggung Malaysia akan bankrap seperti apa yang berlaku kepada negara Greece sedikit masa dahulu yang menyebabkan rakyatnya sengsara dan kerajaan tidak lagi dapat berfungsi tanpa persetujuan para bank yang memberi hutang.

“Saya bukan ingin menakutkan para pembaca semua tapi polisi had siling pinjaman adalah bertujuan untuk mengelakkan kita terjerumus ke dalam situasi ini.

“Persoalan utama yang harus diberitahu kepada rakyat adakah had siling pinjaman sebanyak 60% KDNK dinaikkan dan apakah tahap baru yang diluluskan Parlimen? Ini masa depan yang anak cucu kita perlu tanggung.

“Bila semuanya menjadi parah akibat keputusan di atas kelak, adalah kerajaan akan seperti Pakatan Harapan (PH) dengan menyalahkan pihak lain? Salahkan Barisan Nasional (BN)?” tanyanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.