Perak Pertimbang Anjur Bazar Ramadan Di Masjid

IPOH, 24 Mac – Kerajaan negeri Perak bersedia menimbang cadangan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk membenarkan penganjuran bazar Ramadan di masjid-masjid di negeri itu bagi mengurangkan kesesakan di bazar Ramadan sedia ada.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata pihaknya perlu memperhalusi cadangan itu terlebih dahulu dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk kebersihan dan peraturan sedia ada sebelum membuat keputusan.

“Saya faham maksud JAIPk untuk mengadakan bazar Ramadan di masjid kerana ingin menarik perhatian orang Islam yang dapat berkunjung ke masjid selepas waktu Asar untuk membeli (juadah berbuka puasa) dan pulang ke rumah,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Pengumpulan Barangan Buangan Elektrik dan Elektronik (E-waste) Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.

Menurutnya perbincangan akan turut melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab mengeluarkan permit bazar Ramadan.

Menerusi surat yang dikeluarkan semalam, Bahagian Pengurusan Masjid JAIPk menggalakkan masjid-masjid di negeri ini menganjurkan bazar Ramadan di kawasan perkarangan masing-masing.

Sementara itu, Saarani berkata sebanyak 44.3 tan E-waste isi rumah berjaya dikutip tahun lepas dan dikumpulkan sehingga Perak muncul antara negeri yang merekodkan kutipan tertinggi.

Sehubungan itu, kempen pengumpulan E-waste akan dipergiatkan pada tahun ini dengan penglibatan menyeluruh anggota masyarakat melalui kerjasama kesemua PBT yang akan melaksanakannya di setiap daerah.

Menurutnya, E-waste yang dikumpulkan akan dikitar semula atau dilupuskan oleh syarikat yang dilesenkan Jabatan Alam Sekitar Perak. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.