Cerita Tommy Thomas Jangan Disenyapkan, Segerakan RCI, Gesa Dr Puad

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa cerita Tommy Thomas jangan disenyapkan dan timbul persoalan sudahkah bekas Peguam Negara kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu dipanggil ke Bukit Aman.

Tegasnya, amat wajar semua pihak termasuk UMNO menuntut kerajaan Perikatan Nasional (PN) segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat Tommy Thomas.

“Beratus laporan polis telah dibuat terhadap Tommy Thomas termasuk oleh bekas Peguam Negara TS (Tan Sri) Apandi Ali dan bekas Peguam Cara III Mohamad Hanafiah Zakaria.

“Banyak alasan kenapa RCI terhadap Tommy Thomas perlu ekoran pendedahan beliau dalam memoirnya itu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Pertama katanya, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun mendakwa buku memoir Tommy Thomas jelas menghina institusi perundangan negara.

“Menurut Idrus memoir itu dihasilkan oleh “pemikiran yang dangkal kerana pengalaman yang singkat oleh orang yang tidak memahami institusi perkhidmatan awam”.

Kedua Tommy Thomas mendedahkan, Tun M (Mahathir Mohamad) bersetuju melantik Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar di Malaya dan Hakim Besar di Sabah dan Sarawak atas ‘recommendation’ beliau.

“Apakah itu bermakna perlantikan ‘Hakim-hakim Atasan’ telah mengenepikan peranan Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman (JAC)? Sebab itu RCI penting dituduh segera,” jelasnya.

Tambahnya lagi, yang ketiga, banyak pihak mendakwa buku memoir itu bertentangan dengan Seksyen 26 Akta Keterangan 1950 yang mana Tommy Thomas dituduh melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan selaku penasihat utama kerajaan beliau terikat dengan kerahsiaan di bawah Artikel 145.

Keempat, benarkah penerbit kepada buku memoir ini adalah ‘think tank’ kepada Dap? Maka apa motif buku memoir tersebut yang penuh dengan fitnah termasuk menghina Allahyarham Tun Abdul Razak?

Kelima, Tommy menuduh penjawat awam adalah dungu. Dia dikecam teruk oleh Persatuan Pegawai-pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JALSOA) kerana penghinaan itu. Tommy turut menghina keputusan Hakim Mahkamah Koroner mengenai pembunuhan Adib (Muhammad Adib Mohd Kassim). Padanya keputusan itu adalah “absurd”,” katanya.

Seterusnya kata Dr Puad adalah berhubung tindakan Tommy yang seolah-olah menuduh Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan (DYMM YDP) Agong bermain politik mengenai jawatan perdana menteri (PM).

Keenam, Tommy tuduh DYMM YDP Agong mahu Wan Azizah (Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail) jadi PM untuk ganti Tun M yang letak jawatan, apakah Tommy menuduh YDP Agong main politik?

Ketujuh, pendedahan Tommy Thomas kenapa dia tidak mendakwa 12 orang penyokong LTTE (Harimau Pembebasan Tamil Eelam) setelah mendapat persetujuan Tun Mahathir juga amat menggusarkan.

“Menurut Tommy, Muhyiddin (Muhyiddin Yassin) yang ketika itu Menteri KDN (Kementerian Dalam Negeri) mahu 12 orang itu didakwa. Muhyiddin dakwa PDRM (Polis Diraja Malaysia) mempunyai bukti kukuh penglibatan 12 orang itu. Baca di sini (pautan),“ ujarnya lagi,

Kata Dr Puad, banyak lagi kontroversi yang didedahkan oleh Tommy Thomas yang perlu disiasat secara bebas.

“Justeru segerakan RCI terhadap Tommy Thomas demi memelihara imej keadilan, perundangan dan integriti Hakim negara,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.