UMNO Mendepani Dua Zaman Cabaran Tersendiri, Namun Ahli Tetap Utuh

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Dua zaman yang dilalui UMNO sejak ianya ditubuhkan pada 11 Mei 1946 merupakan satu tempoh yang ada cabarannya tersendiri iaitu ketika UMNO menjadi kerajaan dan selepas pilihan raya umum (PRU) pada Mei 2018 memperlihatkan bagaimana utuhnya sokongan ahli parti.

Bagi Ketua UMNO Bahagian Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob, dalam tempoh yang cukup panjang sejak ianya ditubuhkan parti berkenaan mempunyai kisah yang menarik termasuklah sejarah suka dan dukanya yang tersendiri.

“Kita berada pada dua zaman iaitu zaman UMNO menjadi kerajaan dan sekarang hilang segala-galanya dalam sekelip mata pada 9 Mei 2018 setelah kita kalah di peringkat pusat. Walaupun pada waktu itu kita adalah ‘single party’ yang paling besar mempunyai ahli parlimen tetapi hakikatnya rakyat telah menolak kita untuk membolehkan kita membentuk kerajaan.

“Jadi kita berada pada zaman kekalahan sudah tentulah ada cabaran. Dulu pun ada cabaran dan sekarang pun ada cabaran. Sudah tentulah cabaran yang kita hadapi sekarang ini adalah satu cabaran yang amat getir. Ringkasnya kita perlulah berusaha dan berikhtiar untuk kembali bangkit.

“Proses untuk kembali bangkit ini kita mesti memberi keyakinan bukan sahaja kepada ahli, pemimpin akar umbi tetapi kita mesti memberi keyakinan kepada rakyat sebab rakyat akan menentukan pada pilihan raya umum akan datang,” katanya pada program Segmen Solidariti yang disiarkan menerusi Facebook UMNO-Online, di sini, Rabu malam.

Jelas Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang, soal umur parti bukan satu perkara yang penting namun yang utama adalah keyakinan kepada rakyat yang akan menentukan sokongan terhadap sesebuah parti yang akan membentuk sebuah kerajaan kelak.

“Jadi inilah perkara yang perlu dilihat UMNO, mungkin perkara-perkara yang perlu diperbaiki tetapi apa pun kita cukup yakin walaupun kita kalah pada hari ini dan berada pada zaman yang berbeza tetapi UMNO masih lagi merupakan sebuah parti yang paling kuat, sebuah parti yang mempunyai ahli paling ramai dan mempunyai struktur  organisasi yang begitu kukuh dan begitu baik.

“Cuma tinggal lagi bagaimana mahu memenangi hati rakyat supaya mereka yakin bahawa tidak ada parti lain yang boleh mereka berikan harapan, impian serta cita-cita untuk masa sekarang dan generasi yang akan datang untuk memimpin negara ini dan sudah tentulah bagi kita tidak ada parti lain. Sebab itu saya masih kekal dengan UMNO walau apa jadi sekali pun saya akan tetap bersama dengan UMNO dan tidak akan berganjak sedikit pun,” ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan itu..

Sementara itu Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Shafie Abdullah turut melontarkan pandangan yang sama bahawa ahli-ahli UMNO tetap utuh dan cukup setia dengan parti walaupun pada 2018 mengalami kekalahan di peringkat pusat.

Jelas beliau sebagai pemimpin di akar umbi, rata-rata mereka cukup bersemangat malah apa yang membanggakan selepas 100 hari kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah, mereka di bahagian berkenaan mengadakan ‘flashmob’ dengan pelbagai ungkapan terhadap kerajaan PH yang menerajui negara pada waktu berkenaan.

“Sebagai pemimpin di akar umbi, saya rata-rata melihat mereka masih tidak berganjak dan jika diperhatikan setelah UMNO mengalami kekalahan pada 9 Mei 2018 dan selepas 100 pemerintahan PH, UMNO bahagian Wangsa Maju  pergi ke jalanan dan kita melaungkan ‘tipulah’ dan macam-macam.

“Pada ketika itu kita baru kalah 100 hari…satu perkara lagi tidak ada satu pun cawangan UMNO yang ditutup malah apabila kita jatuh pada waktu itu, UMNO di Wangsa Maju masih ‘solid’ dan kita rasa kita harus bangkit  untuk pastikan UMNO ini kembali berkuasa di negara kita. Solidariti di kalangan ahli-ahli UMNO di Wangsa Maju Alhamdulillah sehingga ke hari ini,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.