Saksi : Laporan Ke Atas Ahmad Zahid Dibuat Selepas PRU-14 – Peguam
KUALA LUMPUR, 18 Mac – Peguambela Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Zaidi Zainal mencadangkan kepada Pegawai Penyiasat SPRM, saksi pendakwa (SP99), Khairuddin Kilau bahawa Shamsuri Tun terpaksa melepaskan jawatan Ahli Lembaga Yayasan Akal Budi kerana disebabkan beliau bankrap dan berdasarkan Memorandum and Articles (M&A) beliau perlu melepaskan jawatan tersebut. Oleh kerana itu Shamsuri Tun diberhentikan dari menjadi Ahli Lembaga Yayasan Akal Budi.
Manakala bagi Zulkifli Senteri pula pada ketika tarikh-tarikh pertuduhan tersebut, Zulkifli Senteri telah meletakkan jawatan maka secara automatiknya Zulkifli Senteri ini tidak lagi relevan sebagai saksi bagi pertuduhan itu.
Idris Kechik pula hanyalah seorang setiausaha syarikat dan beliau bukanlah pemegang amanah Yayasan Akal Budi bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Tidak ada mana-mana pemegang amanah sama ada yang lama atau yang baru membuat laporan polis atau pernyataan untuk membantah apa yang berlaku di dalam Yayasan Akal budi Mahkamah diberitahu melalui soalan peguam di sini hari ini.
Mahkamah juga diberitahu hari ini bahawa laporan ke atas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hanyalah di buat oleh pihak SPRM pada 5.06.2018 iaitu selepas PRU ke-14. Khairuddin bersetuju dengan fakta tersebut. Khairuddin juga turut bersetuju bahawa akaun Yayasan Akal Budi yang dikatakan mempunyai transaksi keluar masuk wang berjumlah RM100 juta telah pun dibuka sejak tahun 1997, dan jawapannya (lebih awal) bukanlah jumlah wang di dalam akaun tersebut tetapi adalah rekod transaksi dari tahun 1997 sehingga 2018.
Selain itu mahkamah juga mendengar bahawa Khairuddin bersetuju bahawa transaksi wang RM 3.9 juta yang dipindahkah dari Yayasan Akal Budi ke Yayasan Al Falah adalah bertujuan untuk membina Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk.
Mahkamah seterusnya mendengar soalan dan cadangan Datuk Zaidi Zainal bahawa ketika Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dirakamkan percakapan tentang tandatangan pada cek-cek Yayasan Akal Budi.
Cek-cek asal tidak ditunjukkan kepadanya yang ditunjukkan hanyalah imej cek. Ini menyebabkan beliau tidak dapat membezakan sama ada tandatangan itu adalah tulen mahupun tandatangan yang bercop. Khairuddin bersetuju dengan cadangan ini. Peguam kemudiannya menyatakan bahawa hanyalah pada Januari 2019 (selepas pertuduhan di buat) barulah pihaknya menghantar cek-cek tersebut untuk di analisa oleh Jabatan Kimia Malaysia.
Pihak peguam juga menyatakan hasil amatan Jabatan Kimia Malaysia cek asal tidak ditandatangani oleh tertuduh malah telah dicop tandatangan. Mejar Mazlina sebelum ini telah menyatakan bahawa dia yang dipertanggungjawabkan ke atas cek-cek milik Yayasan Akal Budi tersebut. Mazlina juga mengaku telah cuai dalam mengendalikan cek-cek milik Yayasan Akal Budi tersebut.
Para ke-14 penyataan saksi kesemua cek-cek dari Yayasan Akal Budi disediakan oleh Mejar Mazlina Mazlan. Cek-cek asal hanya diterima selepas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dituduh iaitu pada November dan December 2018.
Sumber dana Yayasan Akal Budi selain sumbangan adalah juga dari gaji pendapatan perniagaan ‘jualan syer’ beliau sendiri.
Kes perbicaraan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan bersambung esok dan dijangka mahkamah akan menentukan sama ada terdapat prima facie atau tidak bagi pertuduhan-pertuduhan tersebut selepas pihak Pendakwaan menutup kesnya dan hujahan-hujahan di dengar di Mahkamah. – UMNO Online