Garis Panduan Kompaun Diumum Kerajaan, Masih Di Tahap Membebankan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi meluahkan rungutan rakyat berkenaan kadar kompaun yang dikenakan kepada individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) meskipun beberapa garis panduan telah diberikan kerajaan semalam.

Katanya dalam satu hantaran di Facebook, rakyat melihat panduan tersebut masih lagi di tahap membebankan terutama dengan kerenah birokrasi yang dihadapi mereka.

“Pertama diskaun kompaun hanya layak dalam tempoh tujuh hari. Bukan mudah untuk sebilangan rakyat menyediakannya RM750 dalam tempoh tersebut.

“Kedua rakyat khuatir jika timbul isu birokrasi dalam proses ini. Kerajaan wajar memastikan ia berjalan tanpa banyak kerenah,” katanya.

Tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, rakyat juga sangsi seolah wujud sikap pilih kasih dalam operasi penguatkuasaan yang melibatkan individu berprofil tinggi.

“Ketiga rakyat mula sangsi ada anasir ‘double standard‘ dalam penguatkuasaan SOP membabitkan menteri dan pemimpin politik,” tegas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas beberapa perubahan dalam pelaksanaan kompaun RM10,000.

“Kerajaan telah mengubah pelaksanaan kompaun RM10,000 yang boleh dikenakan ke atas rakyat kerana melanggar SOP pencegahan COVID-19.

Ok Terima kasih. Tidak sia-sia saya dan rakan-rakan membangkitkan permasalahan ini sebelum ini,” katanya.

Ahmad Zahid sebelum ini meluahkan pandangan agar kerajaan mengkaji semula kompaun sehingga RM10,000 yang dikenakan ke atas rakyat yang didapati melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan.

Kabinet semalam menetapkan Garis Panduan Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun Di Bawah Akta 342 Dan Peraturan-peraturan Di Bawahnya yang berkuatkuasa semalam, yang antaranya menawarkan diskaun 50 peratus atau 25 peratus kepada individu atau syarikat, sekiranya menjelaskan bayaran dalam tempoh ditetapkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata di bawah Garis Panduan itu kesalahan ditetapkan dengan tiga kategori iaitu tinggi, sederhana dan normal, dan nilai kompaun sewajarnya dikenakan adalah mengikut kategori.

Kategori tinggi ialah kesalahan yang menyebabkan penularan yang tinggi atau impak jangkitan kepada komuniti dalam skala besar; sederhana adalah kesalahan yang menyebabkan penularan tinggi tetapi tidak memberi impak besar jangkitan kepada komuniti; manakala normal adalah kesalahan yang boleh menyebabkan risiko rendah dan tiada kesan kepada komunti. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib