RELA Dekat Dihati Saya… Teruskan Berkhidmat Untuk Negara – Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap Jabatan Sukarelawan Malaysia (REKA) terus cemerlang memainkan peranan bagi membantu pasukan keselamatan negara dalam menjaga kesejahteraan hidup rakyat.

Katanya, ini kerana RELA merupakan organisasi yang begitu bermakna pada dirinya sewaktu menjawat jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri suatu ketika dahulu.

“Kelmarin saya terserempak dengan beberapa anggota RELA sedang bertugas. Kelihatan begitu bersemangat dan berdedikasi. Segak dan gagah memakai uniform celoreng digital menjaga keselamatan dan ketenteraman orang ramai di kawasan sekitar.

“Kelibat mereka pantas membuatkan saya tersenyum teringatkan tarikh bersejarah 28 Ogos 2013 sebagai Menteri Dalam Negeri.

“Pada tarikh itu saya mengumumkan RELA diangkat sebagai salah sebuah Jabatan Persekutuan yang dikenali sebagai Jabatan Sukarelawan Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid yang juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata usaha untuk merealisasikan RELA sebagai salah sebuah jabatan bukan mudah tetapi hasilnya terbukti berbaloi bukan sahaja buat masyarakat tetapi untuk anggota pasukan itu.

“Tujuan saya mengangkat RELA sebagai sebuah Jabatan Persekutuan supaya ia dapat berfungsi dengan lebih berkesan.

“Berfungsi sebagai sebuah organisasi kesukarelawan yang efisien membantu pasukan dan agensi keselamatan menjaga ketenteraman awam.

“Para anggotanya turut diberi bekalan dan peralatan yang dianggap bersesuaian dengan tugasan mereka,” ujarnya.

Tambah beliau, ilham untuk menaiktaraf RELA sebagai salah sebuah Jabatan Persekutuan adalah selepas menyoroti sejarah perkhidmatannya yang panjang buat negara.

“Bermula sebagai ‘Pasukan Home Guard’ bagi menjaga keselamatan setempat apabila darurat diisytiharkan pada tahun 1948.

“Kemudian mengembleng tenaga sukarelawan di seluruh negara bagi membantu kerajaan menangani masalah pengganas komunis.

“Seterusnya membantu pasukan keselamatan negara menghadapi ancaman konfrontasi dengan Indonesia dari tahun 1963-1965,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.