Program Imunisasi COVID: PAC Puas Hati Pembentangan, Tatacara Perolehan Vaksin

PUTRAJAYA, 16 Mac – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berpuas hati dengan pembentangan dan tatacara perolehan vaksin COVID-19, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata beliau bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah membentangkan maklumat dan perincian lanjut berkenaan perolehan vaksin kepada PAC pada 5 Jan lepas meskipun kerajaan masih terikat dengan ‘non-disclosure agreement’ atau perjanjian kerahsiaan yang dimeterai bersama syarikat pengeluar vaksin.

Dalam kenyataan balas kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan program imunisasi itu hari ini, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata butiran serta kertas perjanjian juga telah ditunjukkan kepada PAC.

“PAC menerusi kenyataan pengerusinya yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh, dari parti DAP telah menyatakan bahawa PAC berpuas hati dengan pembentangan dan tatacara perolehahan vaksin COVID-19,” katanya serta menambah terdapat juga wakil PKR dalam PAC itu.

Anwar dilaporkan telah membangkitkan beberapa persoalan berkenaan program imunisasi itu antaranya masalah ketelusan dalam mendapatkan vaksin, mengenai RM3 bilion bagi mendapatkan pelbagai jenis vaksin dan parameter yang diguna pakai dalam membuat keputusan bagi mendapatkan pelbagai jenis vaksin.

Mengenai andaian kerajaan tidak memberi perhatian terhadap vaksin Sputnik V dari Rusia, Khairy berkata ia tidak benar memandangkan vaksin Sputnik V sememangnya terdapat dalam potfolio pembelian vaksin COVID-19 negara dan kini sedang dalam penilaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi tujuan kelulusan dan pendaftaran.

Bagi persoalan berkenaan penglibatan penyelidik tempatan dalam pembangunan vaksin pula, Khairy berkata kementeriannya (MOSTI) telah membiayai penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin tempatan bagi penyakit COVID-19 menerusi MOSTI Combating COVID-19 Fund (MCCOF).

Pembiayaan itu diberikan kepada dua kumpulan penyelidik iaitu dari Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), katanya.

Mengakui Malaysia tidak mempunyai fasiliti lengkap pembuatan vaksin, Khairy berkata: “Justeru, dalam rundingan pembelian vaksin COVID-19 dengan beberapa pembekal, kerajaan telah memasukkan elemen nilai tambah bagi membolehkan Malaysia membangunkan kapasiti pembangunan vaksin dalam negara pada masa hadapan.”

Khairy berkata beliau akan membentangkan maklumat lanjut berkenaan program imunisasi itu pada sesi taklimat kepada Ahli Parlimen tidak lama lagi dan surat jemputan kepada mereka untuk menghadirinya telah dihantar. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.