Kompaun RM10,000: Pemuda UMNO Tawar Khidmat Nasihat Guaman Percuma

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia amat prihatin dengan keluh-kesah rakyat mengenai isu peningkatan amaun kompaun berjumlah RM10,000 yang melibatkan kes-kes perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, walaupun secara prinsipnya Pemuda UMNO menyokong usaha kerajaan memperketatkan SOP untuk membendung penularan COVID-19, namun jumlah kompaun yang terlalu tinggi hakikatnya amat membebankan rakyat lebih-lebih lagi di kala mereka sudah sedia terbeban dengan pelbagai kepayahan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Sehubungan dengan itu, Pemuda UMNO menawarkan khidmat nasihat guaman secara percuma kepada orang ramai yang dikompaun dan merasakan diri mereka dianiayai akibat tindakan penguatkuasaan SOP PKP atas kesalahan-kesalahan kecil seperti tidak memakai pelitup muka dan sebagainya.

“Tawaran ini meliputi nasihat guaman dan representasi peguam kepada Kementerian Kesihatan Malaysia bagi membuat rayuan pengurangan kompaun bagi kesalahan-kesalahan melibatkan PKP,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambah Dr Asyraf, dalam masa terdekat, Pemuda UMNO akan menyediakan platform secara dalam talian untuk individu-individu yang dikompaun bagi menghantar maklumat dan mendapatkan khidmat nasihat perundangan.

Pemuda UMNO juga katanya menyediakan dua talian hotline yang beroperasi untuk orang ramai memberikan maklum balas di talian iaitu 013-7354116 dan 013-7354117.

Manakala barisan peguam-peguam dalam kalangan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang akan mengetuai pasukan ini adalah seperti berikut:
(i) Saudara Nik Saiful Adli Burhan (Pengerusi Sekretariat Perundangan dan Peguam Muda Pemuda UMNO Malaysia).
(ii) Saudara Faridzul Azlan Abd Shani.
(iii) Saudara Muhamad Nur Aizat Noor Azam.

Justeru kata Dr Asyraf, Pemuda UMNO tetap berpendirian agar kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menilai kembali jumlah kompaun RM10,000 yang ditetapkan agar rakyat tidak terus merasa teraniya dan terbeban. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.