Ahmad Zahid Hargai Sokongan Sepanjang Perbicaraan Di Mahkamah

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan rasa syukur dan berterima kasih terhadap sokongan yang telah diberikan kepada beliau ketika mengharungi perbicaraan di mahkamah.

Katanya, beliau mengambil maklum berkenaan permintaan penyokong yang meminta dirinya untuk membuat penjelasan mengenai perbicaraan tersebut secara terbuka di Facebook.

“Saya memahami niat baik saudara saudari, tetapi seperti yang dimaklumkan sebelum ini saya tidak dibenarkan berbuat begitu.

“Saya boleh dikenakan tindakan subjudice, contempt of court kerana akan dilihat seolah-olah cuba meyakinkan atau mempengaruhi orang lain,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Bagaimanapun Pengerusi Barisan Nasional itu, memberikan sedikit penjelasan berkenaan proses perbicaraan yang dihadapinya.

“Proses pertama dalam perbicaraan dipanggil prima facie. Pada peringkat ini pihak pendakwaan perlu membuktikan kes terhadap saya terlebih dahulu.

“Pada fasa pertama ini pihak pendakwa yang akan memanggil kesemua saksi mereka terlebih dahulu untuk didengari di mahkamah.

“Pada proses ini pihak saya tidak akan memberi sebarang kenyataan. Saya cuma dibenar untuk mendengar dan memerhati,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya pihak pendakwa gagal membuktikan prima facie, beliau akan dilepaskan namun jika sebaliknya proses kedua akan bermula.

“Pada peringkat ini barulah giliran saya pula diarahkan membela diri daripada tuduhan-tuduhan yang dilemparkan ke atas saya.

“Pihak mahkamah akan mendengar pula kenyataan daripada saksi-saksi barisan pembelaan saya,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.