K’jaan Perak Jamin Geopark Lenggong Tidak Akan Jadi “Gajah Putih”

LENGGONG, 13 Mac – Pelan jangka pendek dan panjang sedang dipersiapkan oleh pelbagai pihak bagi memastikan Geopark Lenggong dapat dibangunkan dan tidak menjadi projek “gajah putih”, kata Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad.

Katanya pembangunan yang akan dilaksana juga dipastikan dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

“Apabila Geopark Lenggong mendapat pengiktirafan pada Julai nanti, kita sudahpun dalam fasa bersedia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek Galeri Geopark Lenggong yang turut dihadiri Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah di Kota Tampan di sini hari ini.

Terdahulu semasa berucap, Saarani berkata pembangunan geopark itu selari dengan dasar kerajaan negeri untuk meningkatkan kelestarian pembangunan dan pengurusan ekonomi, sosial dan sumber semula jadi.

Pembangunan geopark juga adalah selaras dengan polisi merancang pembangunan fizikal mampan dengan cara membangunkan guna tanah secara bersepadu dan memelihara khazanah semula jadi negeri Perak agar seimbang dan berdaya tahan, katanya.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata pembangunan yang bakal wujud selepas pengiktirafan Geopark Lenggong sebagai geopark kebangsaan kedua di Perak akan membantu meningkatkan ekopelancongan yang dapat memberi impak di peringkat negeri dan juga negara.

“Kita sedang menilai lebih 50 penggiat industri pelancongan di sini untuk diangkat sebagai produk tempatan dan antarabangsa seiring dengan pengiktirafan kepada Geopark Lenggong nanti,” katanya.

Mengenai Galeri Geopark Lenggong, beliau berkata projek bernilai RM2 juta itu merupakan usaha sama di antara kementeriannya dan Yayasan Albukhary dalam usaha membangunkan dan memelihara kepelbagaian, pemuliharaan hutan, hidupan liar dan alam sekitar di situ.

Galeri ini akan diisi dengan pelbagai maklumat mengenai kepelbagaian geologi, arkeologi, sejarah dan budaya tempatan yang dapat diterokai di Lembah Lenggong, katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.