Sendiri Mahu Pinda, Sendiri Kata Tak Praktikal? Jangan Nafikan Hak Anak Muda – Zahida

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Kembali ke masa silam zaman kegelapan era Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan, Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019 telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Ujar Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan, RUU itu disokong oleh 211 ahli Parlimen dari kerajaan PH termasuk pembangkang pada ketika itu manakala 11 lagi tidak hadir.

Jelasnya lagi, Barisan Nasional (BN) menyokong penuh RUU tersebut kerana melihat ia peluang mengangkat aspirasi anak muda seawal 18 tahun untuk menentukan siapa kerajaan yang akan membela mereka di masa hadapan.

“Hari ini, ada pemimpin berpengaruh dalam PPBM mengatakan sebaliknya, seolah-olah mahu menafikan hak dan suara anak muda.

“Soalan saya, kenapa tiba-tiba berubah nada? Sendiri yang mahu pinda, sendiri kata tidak praktikal? Soalnya dalam satu hantaran di Facebook.

Zahida berkata demikian mengulas mengenai pandangan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim yang berkata tidak praktikal untuk menurunkan kadar umur pengundi kepada 18 tahun pada masa kini atas kekangan masa dan sumber.

Bercakap dalam satu program ruang bicara bersama sebuah sebuah saluran televisyen kerajaan baru-baru ini, Rais yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM turut berkata penurunan had umur kepada 18 tahun sekarang ini akan mengambil masa untuk mengenal pasti individu yang layak mengundi dan kawasan mengundi golongan terbabit.

Ekoran kelulusan RUU tersebut juga, pada 3 Nov tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai tahun ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.