Demokrasi Dalam UMNO Terbentang Luas, Sebarang Keputusan Secara Konsensus – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Keputusan yang diambil baru-baru ini adalah secara bersama dan ruang demokrasi di dalam UMNO cukup luas apabila masing-masing yang dipertanggungjawabkan boleh mengeluarkan pandangan mereka seperti di dalam mesyuarat biro politik serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika berkongsi perkara berkenaan menjelaskan tidak timbul soal kuasa veto atau lain-lain perkataan sebaliknya yang jelas adalah keputusan secara bersama.

“Di Janda Baik sebelum ini, semua hadir mesyuarat biro politik dan masing-masing bercakap dapatlah satu keputusan dan mereka tidak menentang dua keputusan tersebut. Pada malamnya mesyuarat MKT dan dibentangkan rumusan mesyuarat tidak ada seorang pun membantah keputusan-keputusan yang dibuat.

“Jadi betapa demokratiknya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi apabila membuat keputusan…kata guna kuasa veto tidak betul dan mana ada dalam Perlembagaan UMNO kuasa veto. Majlis Keselamatan PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) lainlah ada kuasa veto.

“Ini tidak ada. Kita berikan semua orang bercakap dan dirumus oleh presiden, tidak ada yang menentang pun keputusan berkenaan. Kalau ada suara-suara yang berbunyi selepas itu ialah yang tidak mengikuti apa yang telah diputuskan oleh majoriti. Saya ceritakan yang sebenar,” katanya menerusi ‘Live’ Facebook UMNO Online mengupas topik 75 Tahun UMNO & Solidariti Ahli.

Memetik laporan, Ahmad sebelum ini memaklumkan bahawa MKT UMNO telah sebulat suara bersetuju untuk Presiden UMNO mengutuskan surat kepada Presiden PPBM bagi menyatakan keputusan bahawa tiada kerjasama dengan PPBM dalam Pilihan Raya Umumk Ke-15 (PRU-15) dan UMNO berpendapat, kebersamaan dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Dalam perkembangan lain, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata dakwaan-dakwaan yang menyebut penolakan kerjasama dengan PPBM di peringkat bahagian dikaitkan dengan kluster mahkamah adalah tidak benar sama sekali.

Sebaliknya jelas beliau ianya berkaitan dengan senario di peringkat bahagian masing-masing dan mereka tentunya melihat kepada urusan masing-masing di peringkat bahagian itu sendiri secara spesifik.

“Sebagai contoh apabila kita membuat usul di bahagian…mula-mula 147 dalam ‘survey’ group ketua bahagian telah menyatakan tidak mahu bekerjasama dengan PPBM. Kemudiannya menjadi usul. Sebelum ini angka yang didengar ialah 118 dan menambah lagi 6 sebab usul itu lewat diterima mereka lambat menghantar ke ibu pejabat  dan menjadi 124 daripada 90 bahagian dan ditolak bahagian Tanah Merah yang digantung.

“Lantas adalah orang mengatakan sebab itu dan sebab ini..kluster mahkamahlah dan macam-macam. Saya ingin menyatakan bahawa sebab-sebabnya yang berdasarkan kajian saya sendirilah ia lebih kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku di bahagian itu masing-masing. Ada contoh yang paling jelas ialah 15 bekas pemimpin di bahagian itu yang telah menjadi Ahli Parlimen UMNO tiketnya kemudiannya didokong oleh orang UMNO tetapi dia berhijrah ke PPBM. Bahagian-bahagian itu tentulah sukar untuk bekerjasama dengan PPBM dan ianya tidak ada kena mengena dengan kluster mahkamah.

“Kemudian ada juga bahagian-bahagian yang ketuanya kalah bertanding atau yang mencabar ketua bahagian bertanding lantas mencari tempat dan mereka pergi ke PPBM dan menjadi ketua bahagian PPBM.

“Jadi tentulah urusan di bahagian itu melihat kepada perkara-perkara spesifik di bahagian masing-masing. Jadi kalau nak sebut pasal kluster mahkamah maka mereka tidak menyokong maka ianya tidak benar,” ujarnya.

Tegas beliau dalam soal berkenaan jangan disalahkan kepada parti dalam membuat keputusan  sedemikian sebaliknya masing-masing maju ke hadapan dan membuat persiapan pilihan raya pada saat dan bila waktunya tiba, UMNO akan kukuh sebagai sebuah parti bersama Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi PRU-15. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas