Peguambela Ahmad Zahid Cabar Kenyataan Saksi Pendakwaan di Mahkamah

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Pasukan Peguambela Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mencabar kenyataan dalam penyiasatan yang dilakukan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pendakwaan yang dihadapi oleh Presiden UMNO, di Mahkamah Tinggi.

Peguambela Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Hamidi Mohd Noh berkata hari ini pihak peguambela telah menyoal balas saksi pendakwaan ke 96 semalam, Mohd Amiruddin Nordin yang menyatakan bahawa wang yang dimasukkan ke Lewis & Co semuanya adalah berbentuk ‘wang rasuah’, ‘wang haram’ tetapi pada hari ini perkara itu sudah dicabar kerana nama ‘file’ itu sendiri adalah nama ‘charity’.

“Semalam saksi juga mengatakan tidak ada rekod yang menunjukkan bahawa wang yang masuk ke dalam akaun Lewis & Co adalah sumbangan. Hari ini kita sudah tunjuk bahawa ia adalah sumbangan kerana ia berada di dalam fail yang bernama ‘sumbangan’. Alhamdulillah… kita sudah berjaya cabar,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Hamidi seterusnya memaklumkan pada sesi sebelah petang saksi berkenaan hanya dipanggil untuk memasukkan keterangan setiausaha syarikat Yayasan Akal Budi yang telah meninggal dunia (Idris Kechik).

“Pegawai yang merakam keterangan sudah datang dan pegawai berkenaan telah masukkan keterangan Idris dan dalam keterangan Idris pun mengatakan tak tahu menahu tentang perjalanan Yayasan Akal Budi.

“Penting untuk orang mengetahui juga bahawa Yayasan Akal Budi ini diasaskan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri. Wang-wang yang diterimanya datang daripada beliau (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan kita akan ‘argue’ dalam Mahkamah tentang isu ini.

“Kita doakan kejayaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah dan insya Allah… kini status kes berada di saksi terakhir. Esok saya percaya sama ada saksi terahir atau saksi kedua terakhir. Kalau esok habis saksi maka ianya saksi terakhir iaitu pegawai penyiasatan utama daripada SPRM…‘this is the main investigating officer’ yang ‘investigate’ keseluruhan aspek kes ini dan mengatakan bahawa kononnya terdapat kesalahan,” ujarnya.

Ujarnya lagi esok adalah kemungkinan hari perbicaraan yang terakhir dan selepas itu ada hujahan yang akan dimasukkan.

“Pihak pendakwaan akan menutup kes dan kita akan ada hujahan dan mahkamah akan putuskan sama ada perlu untuk membela diri atau Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi boleh dilepaskan dan dibebaskan terus tanpa di panggil membela diri. Itu yang kita hendak.

‘Kita mahu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  dilepaskan dan dibebaskan terus tanpa dipanggil membela diri dan kita percaya bahawa kes kita ‘kuat’ dan mampu untuk kita mencapai ‘objektif’ tersebut. Kita tengok macammana. Saya tidak boleh mendahului Mahkamah dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah berulang-ulang kali sebut, beliau nak kes ini diputuskan di mahkamah. Dia nak keadilan kepada diri dia itu berlaku di situ (mahkamah). Insya Allah kita doakan,” katanya.

Dalam pada itu Hamidi turut memberitahu pihaknya turut membuat permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk menggugurkan pertuduhan-pertuduhan yang tidak digabungkan di Mahkamah Persekutuan.

“Permohonan ini akan didengar di sana pada 5 April. Permohonan kita ini mengatakan sepatutnya pihak pendakwaan menggabungkan pertuduhan-pertuduhan ini bukannya dituduh satu persatu menjadi banyak, kita nak mereka kurangkan.

“Maksudnya ‘boleh gabung gabunglah kenapa tak gabung’, itulah soalan kita kepada kepada Mahkamah Persekutuan dan Insya Allah doakan juga kebenaran dan kejayaan di situ.” ujarnya. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.