Melaka Rangka Lapan Tindakan Pastikan Bekalan Air Mencukupi – Ketua Menteri

ALOR GAJAH, 10 Mac – Kerajaan negeri Melaka merangka lapan tindakan bagi memastikan krisis air yang berlaku pada Januari tahun lepas, tidak berulang kembali pada tahun ini.

Ketua Menterinya Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata antara tindakan yang diambil adalah operasi pembenihan awam pada 10 hingga 23 Mac depan.

Beliau berkata selain itu, pengepaman air mentah dilaksanakan dari Tasik Ayer Keroh sebanyak 14 juta liter sehari dan Kolam Kesang 1 (tujuh juta liter air) ke Sungai Melaka bermula Feb lepas bagi membantu pengeluaran optimum Loji Rawatan Air (LRA) DAF 1 dan DAF 2 serta LRA Bukit Sebukor, selain meningkatkan paras air Sungai Melaka.

“Selain itu pelepasan air dari Kolam Menggong 1 dan 2 secara graviti turut dilaksanakan sebagai sokongan kepada LRA Gadek, di samping pelepasan air dari Empangan Durian Tunggal ke muka sauk Sungai Melaka (270 juta liter) dan pelepasan air dari Empangan Jus ke Sungai Batang Melaka sebanyak 151 juta liter air,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Empangan Durian Tunggal semalam.

Sementara itu, Sulaiman berkata berdasarkan kepada Kajian Bathymetric yang dijalankan di Empangan Durian Tunggal pada 2016, Melaka telah kehilangan air sebanyak 32.5 peratus berbanding kapasiti semasa pembinaan.

Beliau berkata ia sekali gus menunjukkan kadar pemendapan sedimen di dasar empangan adalah tinggi kerana banyak dipengaruhi oleh aktiviti pengemburan tanah, pembajaan, pembukaan tanah baharu dan penggunaan racun.

Dalam perkembangan lain Sulaiman berkata 188.72 hektar tanah rizab Empangan Durian Tunggal telah diceroboh sejak 2014 dengan 21.32 hektar, digunakan bagi aktiviti pertanian seperti penanaman durian Musang King, kelapa sawit, buah naga, sireh, kelapa, tanaman sayur-sayuran, pisang dan jambu.

“Hasil pemantauan mendapati 75 peratus penceroboh telahpun mengosongkan kawasan rizab setelah diberikan notis pengosongan tapak oleh Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Alor Gajah.

“Kerajaan negeri Melaka melalui BKSA dan PDT Alor Gajah serta Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Negara (CGSO) sedang mengatur strategi untuk mengeluarkan semua penceroboh di tanah rizab empangan sebagai langkah memastikan keselamatan kawasan tadahan dan tanah kerajaan tidak diceroboh,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.