‘Blue Print’ Pacu Ke Arah Perak Maju 2021-2030 Akan Dilancar

PARIT BUNTAR, 10 Mac – Kerajaan negeri akan melancarkan rangka tindakan (blue print) 29 Mac ini dalam usaha ke arah menjadikan Perak negeri maju dan membangun mulai 2021 hingga 2030.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata rangka tindakan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk mendapat persetujuan dan kelulusan.

“Blue print itu antara lain melibatkan perancangan bagi menambah pendapatan atau sumber-sumber baharu bagi kerajaan negeri. Blue print itu jelas bertujuan bagi menetapkan hala tuju negeri yang turut terkesan dengan pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Moh Mengopi Bersama Menteri Besar Perak sempena Program Menteri Besar Bersama Rakyat (Mesra) di Taman Seri Semarak dekat sini hari ini.

Saarani berkata rangka tindakan itu juga akan mengetengahkan semua aspek dalam memastikan rangka hala tuju dan pengisiannya mengikut keperluan semasa.

Tegasnya, turut diperhalusi dalam rangka tindakan itu adalah kajian separuh penggal untuk melihat sama ada sasaran perancangan dapat dicapai atau tidak dari semasa ke semasa.

“Jika kita perlu beri perhatian yang lebih kepada bidang lain, maka kita boleh ubah keputusan itu. Contohnya, jika mendapati ada keperluan yang mendesak untuk kita memberikan tumpuan kepada usahawan atau penjaja maka sudah tentu kita kena lihat dan membantu mereka yang jatuh terjejas atau hilang pekerjaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0),” katanya.

Saarani menarik perhatian, kerajaan negeri juga tidak mahu rangka tindakan ini dilihat gah atau cantik pada kulitnya sahaja kerana yang penting adalah aspek pengisian serta sasarannya ke arah membantu keperluan rakyat.

Tegasnya, beliau mahukan perancangan ini bukan setakat atas kertas putih sahaja tetapi perlu sampai ke peringkat akar umbi setelah mengambil kira keadaan rakyat hasil daripada program turun padang yang dilaksanakan selama ini.

“Kita perlu kayakan sumber dana kerajaan dahulu sebelum dapat membantu rakyat kerana kalau kerajaan negeri pun miskin bagaimana ingin bantu rakyat,” katanya.

Menurutnya, matlamat akhir nanti adalah untuk mewujudkan sebuah negeri yang maju, makmur dan boleh dikunjungi serta didiami hasil daripada sumber ekonomi dan pembangunan yang rancak setanding Pulau Pinang serta negeri lain. – BERNAMA