Kes Bicara Zahid Hamidi: Pindaan Pertuduhan Di Penghujung Kes – Peguam

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Pindaan ke atas pertuduhan pada penghujung kes perbicaraan yang membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan satu perkembangan yang tidak diduga oleh barisan peguam.

Hamidi Mohd Noh, peguam yang mewakili Presiden UMNO itu berkata pertuduhan yang dahulunya melibatkan 30 cek hari ini dipinda kepada 35 cek.

“Hari ini hari yang kita agak terkejutlah dengan penambahan jumlah cek pada pertuduhan hari ini, yang kita pun tidak sangka dan diberitahu kepada kita pagi tadi. Daripada 30 cek kepada 35 cek pula sekarang. Jumlah juga dinaikkan Dari 6.8 juta kepada 7.5 juta, jadi pertuduhan itu datang diperingkat yang dah hujung kes pendakwaan.

“Saksi-saksi yang datang pada hari ini kebanyakannya lebih kepada pengecaman dokumen. Banyak dokumen-dokumen perlu dicamkan oleh pegawai penyiasat. Ini semua melibatkan cek-cek yang masuk ke Lewis & Co. Kita punya hujahan adalah Lewis & Co adalah pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi dan tidak berlaku pecah amanah.

Terdahulu pagi tadi, memetik laporan pendakwaan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membabitkan dana Yayasan Akalbudi, meminda satu pertuduhan dalam kes pengubahan wang haram dengan menambah nilai dan jumlah cek.

“Saya faham tuduhan ini untuk memberatkan hukuman kepada saya. Terima kasih… saya mengaku tidak bersalah,” kata Ahmad Zahid.

Hamidi dalam perkembangan sama turut memaklumkan pihaknya telah membuat satu laporan polis berkaitan mesej yang tular minggu lalu yang dikatakan keputusan mesyuarat majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu.

“Satu laporan polis dibuat semalam oleh barisan peguam dan bukannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri. Ada yang lapor Datuk Zahid buat laporan tetapi kami peguam yang membela beliau membuat laporan tersebut.

“Bukan kerana apa… sedikit kerisauan… pihak yang mengeluarkan kenyataan itu dah deny… tidak betul. Tetapi saya perlu berhati-hati dalam keadaan tersebut apabila kandungannya yang mengatakan anak guam saya akan dijatuhkan hukum pada bulan Jun dan sebagainya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.