‘Kluster Mahkamah’: Ikut Logik Mengampu Untuk Lepaskan Diri… Bukan Tak Sehaluan – Najib

KUALA LUMPUR, 5 Mac – ‘Kluster mahkamah’ adalah antara propaganda yang digunakan Jkom untuk menyerang UMNO yang tidak mahu berpakat dengan PPBM dalam Pilihan Raya Umum 15 (PRU15) walaupun dari permulaan terbentuknya kerajaan Perikatan Nasional (PN), UMNO telah dengan sangat jelas menyatakan pendirian, ujar bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Katanya, ini kerana kononnya mereka yang tersenarai dalam kluster mahkamah tidak mahu berbaik dengan PPBM sebab mahu melepaskan diri.

“Secara logik, mereka yang mahu melepaskan diri patut mengampu PPBM – bukan tidak sehaluan dengan kehendak PPBM.

“Ahmad Maslan dan Tan Sri Shahrir Samad didakwa menerima dana dari saya sebelum PRU14 sebab tidak mengampu PPBM. Sebab itu, mereka dalam ‘kluster mahkamah’. Mas Ermieyati dan Tok Pa (Mustapha Mohamed) juga menerima dana dari saya sebelum PRU14 tetapi tidak didakwa setelah mengampu PPBM. Sebab itu, mereka bukan dalam kluster mahkamah.

“Menteri kanan paling kanan kerajaan PN juga tidak didakwa atas alasan video tak cukup HD dan dengan itu, tidak tersenarai dalam kluster mahkamah sebab mengampu PPBM. Senator PPBM yang sendiri mengaku menerima dana antara RM50,000 hingga RM2 milion dalam kes Isa Samad juga tidak didakwa dan tidak berada dalam kluster mahkamah setelah mengampu PPBM,” jelasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Justeru katanya itulah yang berlaku apabila menuruti kehendak mereka dan juga sebaliknya.

“Nampak tak? Kalau ampu, tiada kes. Senang sahaja. Bukan sebaliknya. (Jika ada Jkom atau penulis media sosial PH (Pakatan Harapan) memberi komen di sini, tanya sahaja kenapa member-member PPBM di atas tidak didakwa dan tidak menjadi ‘kluster mahkamah’),” gesanya lagi.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan seterusnya berkata beliau secara peribadi tidak pernah minta kes-kesnya digugurkan kerana amat yakin tidak bersalah dan tidak pernah berniat jahat.

“Saya boleh jawab pada Allah. Malah, saya telah beberapa kali sebut perkara ini termasuk pada ketika kerajaan PH digantikan dengan kerajaan PN. “Najib tidak mahu dinafikan hak untuk membersihkan namanya di mahkamah dan menegaskan bahawa dia tidak mahu tuduhan dijatuhkan.” “2 Mac 2020: Najib nafi kesnya bakal gugur, ‘hanya mahkamah mampu membersihkan nama.”

“Itulah pendirian saya dari permulaan kerajaan PN setahun dahulu dan saya tetap tegas dengan pendirian itu sehingga kini,” tambahnya.

Oleh kerana itu, Najib berkata jangan lagi fitnah kononnya beliau mahu kes-kesnya digugurkan tanpa melalui proses mahkamah.

“Saya bukan pengampu,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.