Hampir Semua Projek BN Dibatalkan, Kerajaan 22 Bulan Tadbir Penuh Kesumat Politik – Zahid

KUALA LUMPUR, 4 Mac – “Siapa masih ingat semasa saya menjadi Timbalan Perdana Menteri, saya umum beberapa projek pembangunan di Bagan Datuk?”

Demikian persoalan yang dilontarkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, hari ini.

Katanya, projek yang diumumkan lebih awal sebelum PRU-14 itu seiring dengan program Transformasi Nasional 2050 (TN5O) namun malangnya selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang, hampir semua projek itu dibatalkan atau ditangguhkan oleh kerajaan baharu.

“Begitulah cara pemimpin kerajaan 22 bulan mentadbir negara. Penuh dengan kesumat politik.

“Saya difahamkan beberapa projek itu disambung semula selepas kerajaan 22 bulan tumbang ‘but very slow’,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya.

Jelasnya, secara lebih tepat sebanyak 10 projek pembangunan Bagan Datuk bernilai RM1.04 bilion dibatalkan dan sebanyak 25 lagi projek pembangunan bernilai RM12.03 juta di Bagan Datuk ditangguhkan.

“Sedangkan kesemuanya merupakan projek mesra rakyat di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11. Menteri Besar baharu dilantik selepas kerajaan BN tumbang mengakui perkara itu di DUN Perak pada 23 Julai 2019.

“Antara projek yang dibatalkan adalah menaik taraf Laluan 69 dari Parit 19, Hutan Melintang ke Pekan Bagan Datuk.

“Persimpangan bertingkat FT005 ke FT009, Hutan Melintang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Bagan Datuk.”

Katanya, kerja pembinaan jalan raya empat lorong dari pekan Simpang Empat, Hutan Melintang ke Parit 19 masih berjalan, namun perlahan.

“Dari situ ke Selekoh, peliknya telah dibatalkan. Tinggal dua lorong. Manakala pembinaan jalan raya empat lorong dari pekan Bagan Datuk ke pekan Selekoh juga diteruskan dengan kadar pembinaan lebih perlahan.

“Jambatan dari pekan Bagan Datuk ke Sejagop pula dijangka siap pada Mei. Saya harap ia diselesaikan mengikut jangkaan.”

Dalam hal ini, beliau berharap jalan raya dua lorong dapat disambung semula menjadi empat lorong kerana ini bersesuaian dengan sambungannya ke West Coast Expressway (WCE).

“Semoga Menteri Besar Perak paling baharu mengambil perhatian perkara ini demi kepentingan anak-anak Bagan Datuk,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.