Setuju Cadangan Hospital Swasta Diberi Kebenaran Bekal Dan Beri Vaksin COVID-19 – Dr Masliha

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Dr Masliha Harun bersetuju dengan cadangan hospital-hospital swasta di Malaysia diberi keizinan membeli sendiri bekalan vaksin COVID-19 dan memberikannya kepada masyarakat.

Dr Masliha berharap kerajaan dapat menyegerakan perkara ini kerana mahu capaian yang meluas agar lebih ramai rakyat dapat dan boleh divaksinkan.

“Memandangkan setiap rakyat perlu divaksinkan dua dos maka penting suatu ‘time-frame’ yang betul perlu dicapai. Bermakna jika cepat dan ramai orang disuntik bermakna lebih cepat lagi ‘herd immunity’ akan dapat dicapai.

“Ada kajian yang mengatakan bahawa vaksin yang dicucuk ini ketahanannya bukan setahun atau dua tahun tetapi hanya sekitar empat ke enam bulan sahaja. Oleh itu ternyata vaksin COVID-19 ini bukannya seperti dua-dos suntikan ‘measles’ atau ‘smallpox vaccine’ yang dapat memberikan ‘life-long protection’,” ujar doktor perubatan itu lagi dalam satu hantaran di Facebook.

Dr Masliha berkata demikian mengulas mengenai permintaan Persatuan Hospital Swasta Malaysia yang mewakili hospital-hospital swasta di negara ini memohon kerajaan mengizinkan ahlinya membeli sendiri bekalan vaksin COVID-19 dengan mendapatkan vaksin daripada pelbagai sumber setelah mendapat kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Menurut presidennya Dr Kuljit Singh, program kerajaan yang dijangka berakhir pada Februari 2022, “mengambil masa yang lama dan tidak boleh diterima”.

Seterusnya ulas Dr Masliha, tambahan pula virus COVID-19 ini senang bermutasi.

“Tambahan pula virus Covid-19 ini senang bermutasi jadi bagi peserta yang berada dalam fasa ketiga kita risau tetiba vaksin jenis ini mungkin dah tak sesuai untuk diambil pada tahun hadapan kerana ‘strain’ dah berbeza. Dalam keadaan pandemik pelbagai perkara boleh berlaku.

“Kita juga risau jika lebih lama fasa-fasa yang selanjutnya menunggu akan ada situasi di mana peserta fasa ketiga baru nak cucuk dos pertama tetapi ‘team’ fasa pertama pula perlu cucuk ‘another booster’ hanya kerana level ketahanan antibodi mereka dah semakin kurang. Jadi bekalan vaksin akan menjadi semakin tidak mencukupi,” jelasnya lagi.

Justeru Dr Masliha yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai berharap kerajaan dapat pertimbangkan cara yang lebih cepat untuk pemberian vaksin ini.

“Jika kita boleh guna lebihan ‘bantuan’ dari ‘private sector, why not’ kan?

“Jadi atas sebab-sebab itu kita perlukan capaian yang menyeluruh dan pantas untuk Program Vaksinasi ini, sebab kita melawan pandemik bukan hanya sekadar penyakit biasa.

“Selain itu juga, kita patut dan perlu benarkan rakyat memilih,” gesanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.