Setahun Menjawat Menteri Kanan, Naib Presiden UMNO Pastikan Khidmat Terbaik Lawan COVID-19

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Setahun menjawat Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO menjadi teraju penting dalam memastikan kelestarian rakyat khususnya untuk memainkan peranan penting bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengekang penularan wabak COVID-19.

Beliau mengaplikasikan segala pengalaman dalam kepimpinan untuk mengemudi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tugasnya tidak terhad kepada menjaga keselamatan negara namun ia meliputi mempertahankan negara termasuk non-traditional security threats.

“Kejayaan kita membantu negara bersama-sama dengan agensi lain seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia di dalam memantau dan juga mengawal penularan COVID-19 di negara kita.

“Walaupun orang lihat tentera ini lebih kepada peperangan tetapi kita terlibat dalam peperangan lain seperti ‘non-traditional security threats’ termasuklah kawalan penyakit.

“Membantu polis dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di seluruh negara melalui Ops Penawar sekatan jalan raya dan sebagainya serta Ops Benteng. Jadi kita berjaya bersama-sama dengan agensi lain untuk mengawal COVID-19 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Wawancara Pencapaian Malaysia Prihatin Kementerian Pertahanan Malaysia sempena setahun menerajui kementerian itu di Wisma Pertahanan, baru-baru ini.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera dilantik menjawat jawatan tersebut dalam kerajaan pada 10 Mac 2020 selepas kerajaan baharu dibentuk dengan hasil sokongan ahli-ahli Parlimen gabungan parti Barisan Nasional (BN) yang mempunyai majoriti paling banyak, PPBM, Gabungan Parti Sarawak (GPS), PAS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Hal ini berlaku berikutan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan.

Dalam menghadapi cabaran, Ismail Sabri sedar bahawa beliau perlu proaktif ekoran jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia ketika itu saban hari makin meningkat malah ketika beliau mengangkat sumpah, jumlahnya sudah melepasi tiga angka iaitu 129.

Ketika mengimbau kembali berkenaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 yang dilaksanakan bermula 18 Mac iaitu hanya lebih seminggu selepas beliau dilantik menjadi menteri bertanggungjawab, katanya ia dilakukan tanpa mengambil contoh dari mana-mana negara lain.

“Kita buat sendiri, inisiatif kita sendiri, bila umumkan PKP nampak berjaya sebab rakyat terlalu takut dengan COVID-19. Semua patuh, angka kes menurun, kita isytihar PKP ke Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

“Malangnya selepas Pilihan Raya Negeri Sabah, walaupun ada SOP tapi akhirnya kes meningkat, lagi teruk bila longgarkan rentas negeri, akhirnya kes meningkat. Ada 18 kluster rentas negeri, sebab itulah kita laksanakan PKP 2.0,” katanya.

Bagaimanapun katanya, penerimaan PKP kali ini agak sukar memandangkan rakyat sudah bebas sebelum PKP seperti boleh bekerja, berniaga dan melakukan aktiviti harian lain.

“Kita tak boleh buat seketat PKP 1.0, sebab negara kehilangan pendapatan RM2.6 bilion setiap hari, ekonomi negara teruk apatah lagi ekonomi rakyat.

“Cuba bayangkan yang kerja gaji harian, peniaga kecil tak boleh berniaga jadi tidak ada pendapatan, jadi PKP 2.0 ini kita ubah sikit, ekonomi dibuka.

“Sebenarnya kita hendak menyesuaikan dengan keadaan. Kena fleksibel,” ujarnya.

Ketika ditanya berkenaan situasi yang mengerikan sepanjang menerajui Kementerian Pertahanan, beliau berkata ketika menerima maklumat berkenaan peningkatan statistik pandemik COVID-19.

Katanya, setiap hari beliau akan memperoleh data terkini wabak itu daripada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan (DG), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah namun ianya mengejutkan apabila angka mencecah ke 5,000 kes.

“Selepas pukul 2.00 petang saya akan menerima pesanan daripada Dr. Adham dan DG tentang jumlah kes pada hari tu.

“Itu menakutkan saya, cuba bayangkan kes pada mula 1,000 kemudian 2,000 tiba-tiba satu hari tu naik 5,000 kes, sudah pasti sayalah yang paling takut kerana ianya melibatkan tugas saya juga untuk melandaikan COVID-19 ini,” tegasnya.

Tambah Ismail, statistik kematian yang meningkat juga memberikan mimpi ngeri buat dirinya.

“Apabila kematian meningkat, itu juga pengalaman yang susah untuk dilupakan. Memang meninggal ni satu perkara yang tidak boleh diterima oleh sesiapa pun.

“Kita pun akan meninggal tapi yang meninggal disebabkan COVID-19 ini lagi sedih sebab keluarga tak boleh melawat, tak boleh cium jenazah dan sebagainya,” katanya lagi . – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.