Pertimbangkan Semula Ketetapan Had Maksimum Pembelian Benih Padi – Jamil Khir

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyeru supaya kerajaan mempertimbangkan semula ketetapan had maksimum pembelian benih padi dua kampit kepada setiap pesawah.

Menurutnya, mungkin lebih baik wakil kerajaan turun dan mengambil pandangan pesawah-pesawah di kampung untuk memahami situasi sebenar keperluan mereka yang berbeza-beza bagi setiap kawasan.

“Ia akan bukan sahaja memangsakan pesawah malah ia berisiko membantutkan pengeluaran hasil padi bagi musim akan datang jika kerajaan terus berkeras dengan ketetapan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Jamil Khir memberi reaksi demikian berikutan minggu ini para petani terutamanya di Kedah dalam keluh-kesah yang sukar dileraikan berkaitan isu benih padi.

Katanya, aduan yang diterima daripada pesawah ialah pembelian benih padi dikawal dan dihadkan pembelian kepada dua kampit setiap relung.

“Jika seorang pesawah mengusahakan bendang seluas lima relung, mereka hanya dapat membeli terhad kepada sepuluh kampit. Ini akan memberikan masalah kepada pesawah itu sendiri yang memerlukan benih padi yang mencukupi bagi setiap relung yang mereka usahakan. Ini kerana setiap pesawah memerlukan tiga setengah ke empat kampit benih padi bagi setiap relung yang mereka kerjakan.

“Kebiasaannya dulu, memang pesawah hanya memerlukan dua kampit benih padi. Akan tetapi sejak kebelakangan ini, ada kejadian di mana apabila dua kampit benih padi ditabur tapi hanya 60% pokok padi yang tumbuh, maka pesawah mengambil inisiatif untuk menabur tiga ke empat kampit benih padi untuk memenuhkan petak sawah mereka bagi mendapat pulangan yg bersesuaian.

“Jadi, ada keadaan di mana pesawah memerlukan tiga setengah kampit hingga empat kampit setengah bagi setiap relung. Jika petak bendang itu berlubang-lubang dan tidak rata, kebiasaannya juga memerlukan lebih benih padi,” ujarnya lagi.

Justeru, Jamil Khir yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berharap Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Menteri Pertanian mendapat taklimat dan penjelasan bukan sahaja dari sebelah pihak tetapi juga pihak pesawah yang hanya bergantung sumber pendapatan dan sara hidup anak-anak dan keluarga di atas penghasilan padi yang ditanam.

Tambahan pula katanya, sekarang adalah bermulanya musim menabur serak/menanam bagi para petani/pesawah khususnya di kawasan utara.

“Santunilah mereka sebaiknya demi bekalan beras rakyat Malaysia seluruh negara,” serunya lagi. – UMNO ONLINE