Perancangan Persekolahan 2021 Perlu Diberi Penekanan, Elak Ibu Bapa Terbeban – Khaidirah

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Sesi persekolahan akhirnya bermula pada Mac ini setelah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk membuka sekolah rendah pada hari ini bagi pelajar Tahun 1 dan Tahun 2 manakala 8 Mac bagi Tahun 3 hingga Tahun 6.

Manakala bagi beberapa negeri lain, sekolah menengah akan dibuka pada April depan dan hari ini sahaja, rata-rata dapat dilihat di ruang media sosial tentang perkongsian cerita hari pertama anak-anak di sekolah oleh kebanyakan ibu bapa.

Justeru, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berpandangan walaupun timbul kelegaan bagi sebahagian ibu bapa kerana anak-anak kini boleh mendapat peluang pendidikan, namun langkah kerajaan ini beliau kira masih belum mampu meredakan keresahan yang lain.

Jelasnya, para ibu bapa masih belum jelas dengan perancangan tahunan daripada KPM tentang perjalanan pembelajaran anak-anak mereka.

“Kita faham banyak tindakan kerajaan tertakluk kepada jumlah kes harian COVID-19. Namun, pendekatan reaktif sebegini akan memberi kesukaran kepada ibu bapa untuk menghadapi pelbagai isu dan kekangan.

“Saya sungguh terkesan bila mana ibu bapa yang kurang berkemampuan turut komited berkorban wang ringgit untuk menyediakan kemudahan anak-anak belajar di atas talian. Namun perbelanjaan tersebut menjadi tidak bermakna apabila komputer riba yang dibeli tersebut tidak lagi menjadi keperluan.

“Saya kira, jika kerajaan telah membuat penilaian yang menyeluruh, perancangan yang komprehensif dan melibat urus semua pihak, pengumuman yang berubah-ubah ini boleh dielakkan dan ibu bapa boleh merancang keperluan perbelanjaan keluarga mengikut keutamaan. Kini, ibu bapa dibebankan untuk membeli peralatan persekolahan setelah berhabis duit membeli keperluan pembelajaran atas talian sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Jasin itu lagi, selain faktor kewangan, ibu bapa juga sangat risau akan keselamatan anak-anak mereka di sekolah.

“Rakyat akui kerajaan telah lakukan yang terbaik dengan meningkatkan tahap keselamatan. KPM juga telah mengedarkan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula dan Model Pengawalan Keberadaan Murid di Pintu Pagar Sekolah. Malahan, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan COVID-19 (JKJAV) juga memberi jaminan seramai 55,000 guru menerima suntikan sebelum persekolah dimulakan dan guru-guru berisiko tinggi akan diutamakan.

“Namun berita semasa memaparkan risiko jangkitan masih tinggi. Seramai 41 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekolah asrama di Machang telah disahkan positif. Terdapat juga empat buah sekolah di Sandakan turut ditutup pada Januari yang lalu. Selama mana imuniti berkelompok masih belum dicapai, selagi itu kebimbangan para ibu bapa masih ada asasnya. Saya benar-benar berharap garis panduan yang diberikan juga dipatuhi sepenuhnya oleh pihak sekolah dan murid-murid dengan kerjasama ibu bapa,” katanya.

Beliau juga berkata pandangan yang diberikannya itu bukanlah untuk menimbulkan ketakutan tetapi mewakili kebimbangan ibu bapa yang tidak didengari.

“Pada masa yang sama, bukan juga untuk meragukan usaha kerajaan kerana kita sedar bahawa persekolahan perlu dibuka untuk memastikan pendidikan anak-anak tidak semakin tercicir.

“Namun apa yang diharapkan oleh rakyat dan ibu bapa adalah sebuah kebijaksanaan dan hikmah para pemimpin agar keputusan yang dilakukan adalah sebuah penyelesaian dan bukannya semakin membebankan ibu bapa.

“Besar harapan saya yang masih mempunyai anak yang masih bersekolah agar prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan dipatuhi dan sebarang kecuaian tidak boleh ditoleransi kerana keselamatan anak-anak kami ini kini berada di bawah tanggungjawab pihak sekolah dan kerajaan,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.