Pelancong Ke Melaka Berkurang Lebih 70 Peratus Tahun Lepas

MELAKA, 28 Feb – Pandemik COVID-19 memberikan kesan kritikal kepada semua sektor ekonomi di negeri ini terutamanya sektor pelancongan, dengan penurunan kehadiran pelancong melebihi 70 peratus tahun lepas.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata berbanding pada 2019, Melaka telah menerima seramai 18.7 juta pelancong, dengan jumlah pendapatan sebanyak RM21.298 billion.

Katanya sebagai negeri yang tersohor dengan aktiviti pelancongan, sektor tersebut kini diberi keutamaan dengan pelbagai insentif, bagi memulihkan sektor ekonomi sekali gus memacu semula pertumbuhan ekonomi negeri.

“Antaranya ialah meneruskan Kempen Melakan Visit Melaka bermula bermula 8 Mac sehingga 31 Dis depan, dalam usaha memulihkan industri pelancongan di negeri ini yang semakin tenat, berikutan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan.

“Ini berikutan dalam masa tiga bulan sahaja pelaksanaanya sebelum ini, sambutan yang diterima amat memberangsangkan dan kempen ini telah berjaya menyemarakkan semula industri pelancongan di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan ‘One-Off’ Kerajaan negeri Melaka di bawah inisiatif Belanjawan 2021 kepada Pengayuh-Pengayuh Beca, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan ke pusat pelancongan di Jonker Street, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Senator Datuk Lim Ban Hong.

Dalam pada itu Sulaiman berkata, semua penduduk di Melaka berusia 18 tahun ke atas termasuk pekerja warga asing, tidak akan terkecuali menerima suntikan vaksin COVID-19 yang diperuntukkan sebanyak 600,000 dos secara tiga fasa untuk negeri berkenaan.

“Setakat ini, kerajaan negeri tidak bercadang untuk membeli sendiri vaksin berkenaan kerana jumlah yang diberikan untuk Melaka sudah mencukupi, jadi kita gunakan sahaja vaksin yang telah dibeli oleh kerajaan pusat, tidak terkecuali 40,000 pekerja asing turut diberi percuma,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.