Industri Pengurusan Acara ‘Nazak’, Perlu Diberi Pembelaan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersimpati mendapat perkhabaran industri pengurusan acara ‘nazak’ akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kesalnya, ada yang sudah terjerat dengan ‘ah long’ akibat masalah kewangan.

“Mereka tiada pilihan untuk ‘survival’. Kes ini serupa seperti insiden ibu bapa terpaksa meminjam ceti untuk membeli gajet bagi tujuan PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah).

“Ini bukan semata-mata soal mengkritik, tetapi membantu menyuarakan permasalahan rakyat. Mereka susah dan mahukan suara didengari.

“Jumlahnya bukan kecil sebaliknya melibatkan 200,000 pekerja industri pengurusan acara termasuk perunding perkahwinan. Bagaimana dengan komitmen rumah dan hutang piutang mereka? Siapa yang mahu bayarkan,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook petang ini.

Tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, kebiasaannya sektor ini antara yang terakhir dibenarkan beroperasi.

“Saya masih ingat sebelum PKP 2.0 dilaksanakan, ada dalam kalangan perunding perkahwinan terpaksa memulangkan wang tempahan ekoran majlis tidak dapat dijalankan akibat pergerakan yang terbatas.

“PKP 2.0 sudah bermula sejak 13 Januari 2021 dan kita tidak tahu sehingga bila. Lagipun vaksin telah tiba dan banyak industri lain sudah dibenarkan beroperasi,” ujarnya lagi.

Seterusnya ulas Ahmad Zahid, beliau memahami kerajaan keberatan membenarkan sektor ini kembali beroperasi kerana melibatkan perhimpunan yang ramai.

“Bagaimanapun seramai 200,000 pekerja itu juga rakyat Malaysia dan mereka ada hak warganegara untuk mendapat pembelaan kerajaan.

“Dan kelmarin Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM) menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri di Dataran Putra, Putrajaya.

“Jika tidak boleh dibenarkan secara menyeluruh, sekurang-kurangnya benarkan mereka beroperasi pada skala yang kecil dengan SOP (prosedur operasi standard) yang ketat,” tegas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.