SOP ‘Flip Flop’, Kompaun Dinaikkan… Penderaan Kepada Rakyat – Exco Pemuda

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Mustafa Shah Abdul Hamid menyifatkan langkah kerajaan yang menaikkan kadar kompaun terhadap mereka yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 sebagai penderaan kepada rakyat.

Katanya, langkah tersebut juga dilihat sebagai tindakan yang akan mengelirukan rakyat kerana kerajaan seringkali melaksanakan SOP yang tidak konsisten.

“Secara asasnya saya bersetuju dengan keputusan kerajaan menaikkan kadar kompaun terhadap mereka yang ingkar SOP COVID-19. Saya sedar bahawa kerajaan memerlukan undang-undang yang ketat bagi mengawal penularan wabak ini demi memastikan kesejahteraan rakyat.

“Bagaimanapun, saya agak kurang setuju dengan langkah kerajaan menaikkan kadar kompaun sehingga RM10,000 dalam keadaan SOP yang tidak konsisten ataupun ‘flip-flop’.

“Menaikkan kadar kompuan dalam keadaan SOP yang tidak konsisten dan PKP yang separuh masak bagi saya bukan saja akan menimbulkan kemarahan rakyat, tetapi juga ia merupakan satu penderaaan terhadap rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Kuala Kangsar berkata, tindakan kerajaa ini dilihat sebagai tidak adil memandang pendapatan rakyat terjejas sejak penularan pandemik ini awal tahun lalu.

Menurut Mustafa, kadar kompuan yang dikenakan seharusnya berpatutan dengan kadar kesalahan yang telah dilakukan mereka.

“Jika kesalahan itu pertama kali mereka lakukan, kadar kompaun mungkin memadai RM1,000. Jika kesalahan berulang, kadar kompaun meningkat sedikit demi sedikit sehingga maksimum RM10,000.

“Saya berharap kerajaan boleh menilai semula keputusan ini,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.