Denda Ingkar PKP Perlu Progresif Bukan Memufliskan Rakyat, SOP Mesti Konsisten Tidak ‘Flip-flop’ – Najib

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Selepas dinaikkan ke RM10,000, denda ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Malaysia menjadi antara paling tinggi dalam dunia, ujar bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) turut menyokong hukuman yang lebih berat bagi mereka yang langgar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 namun bukan semua SOP PKP adalah sama serius dan tidak patut dipukul rata.

“Misalnya tidak pakai/salah pakai ‘mask’, gagal mematuhi penjarakan fizikal atau keluar rumah tanpa alasan kukuh berbeza dengan ingkar kuarantin wajib, potong gelang kuarantin, rentas negeri tanpa kebenaran, gagal melapor diri sebagai kontak rapat kes positif atau berpesta ketum beramai-ramai di hotel/rumah sewa.

“Bagi kesalahan yang kurang serius melibatkan bilangan rakyat paling ramai yang mungkin berpunca daripada kesilapan tidak sengaja, hukumannya perlu kepada pengajaran dan perlu dinaikkan secara progresif – bukan untuk memufliskan rakyat,” katanya dalam satu entri di Facebook.

Semalam, Sinar Harian melaporkan orang ramai yang didapati melanggar PKP akan dikenakan kompaun sehingga RM10,000 berkuat kuasa 11 Mac dan bagi syarikat yang didapati melakukan kesalahan yang sama pula boleh dikompaun sebanyak RM50,000, merujuk kepada laman Pejabat Peguam Negara, perkara itu telah diwartakan di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Tambah Ahli Parlimen Pekan itu, sebagai contoh bagi kesalahan kurang serius, dendanya boleh dinaikkan secara progresif.

“Kesalahan pertama: RM1,000. Kesalahan kedua: RM3,000. Kesalahan ketiga: RM6,000. Kesalahan keempat dan seterusnya: RM10,000.

“Kaedah hukuman progresif ini diguna pakai oleh beberapa negara lain dan diterima rakyat di sana sebab tiada sesiapa akan bersimpati kepada pesalah degil yang berulang-kali melanggar SOP.

“Tapi jika terus didenda RM10,000 bagi kesalahan pertama, ramai tidak akan berpuas hati,” ujarnya lagi.

Begitu juga tegasnya, SOP juga sepatutnya konsisten dan tidak boleh sering ‘flip-flop’ sehingga pegawai penguatkuasa dan rakyat pening kepala.

“Selepas denda dinaikkan, kemarahan rakyat tentu turut naik mencanak jika berlakunya lagi dwi-standard antara hukuman pada rakyat biasa dengan ahli politik.

“Ianya menjadi lagi parah bagi wakil rakyat sebab sebarang denda yang melebihi RM3,000 akan menyebabkan kehilangan kelayakan sebagai wakil rakyat,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.