#PerantaraDigital: Inisiatif Kumpul Dana Beri Kemudahan Peranti Kepada Pelajar – Shahril

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan berkata beliau bersama beberapa rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kini sedang mengusahakan sebuah inisiatif Perantara Digital.

Katanya, inisiatif tersebut bagi mengumpul dana untuk membantu pelajar-pelajar yang memerlukan dengan membekalkan peranti elektronik (laptop dan tablet) di pelbagai lokasi serata negara.

“Inisiatif ini akan dijayakan dengan kerjasama We Listen MY yang sekian lama memperjuang isu ini dan telah banyak berhubung dengan saya berkenaan masalah yang kerap dihadapi pelajar.

“Inisiatif ini akan menggunakan platform marhaen.my yang diusahakan oleh usahawan muda. Segala maklumat tentang sumbangan dan angka yang telah dikumpul akan dipaparkan di laman marhaen.my.

“Kami mensasarkan dana berjumlah RM50 ribu bagi memberi sumbangan alat peranti kepada pelajar-pelajar yang memerlukan. Sumbangan serta keprihatinan anda semua amat saya hargai dan saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih,” katanya dalam satu hantaran di Facebook yang turut memaparkan pautan laman web bagi kempen tersebut: https://marhaen.my/campaign/20/PerantaraDigital.

Ulasnya juga, pada 12 Februari lalu, beliau melihat satu ciapan seorang pengguna Twitter yang bertanyakan jika ada yang sudi membantu seorang pelajar Politeknik yang memerlukan sebuah komputer riba bagi kemudahan mengikuti sesi pembelajaran secara maya.

“Terpanggil untuk membantu, saya mengusahakan sebuah komputer riba untuk pelajar tersebut.

“Hakikatnya, ramai pelajar yang memerlukan alat peranti di seluruh negara,” ujarnya.

Jelasnya lagi, walaupun sesi persekolahan bakal dibuka untuk sebahagian murid-murid pada 1 Mac nanti, masalah peranti tidak hilang begitu sahaja.

“Pertama, pelajar pengajian tinggi masih dalam zon pembelajaran atas talian, dan mahasiswa yang akan pulang ke kampus 1 Mac nanti adalah terhad kepada 6 kategori sahaja – itupun masih ada yang akan meneruskan PdP (pengajaran dan pembelajaran) atas talian.

“Kedua, di samping kita mendoakan trend jangkitan COVID-19, tiada jaminan mutlak bahawa sesi persekolahan dan pengajian tidak akan terganggu.

“Ketiga, menuntut ilmu secara atas talian sudah menjadi sebati dengan kehidupan moden dan harus dipermudah buat segenap lapisan masyarakat,” ujarnya.

Seterusnya tambah Shahril, wabak COVID-19 telah membuktikan jurang digital yang wujud.

“Kerajaan dan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi telah pun awal mengusahakan bantuan semenjak tahun lepas lagi, tetapi masih ada ruang untuk individu dan pihak bukan kerajaan membantu di samping menanti penyelesaian jangka panjang,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.