‘Luar Biasa’ UMNO/BN Selepas PRU-14 – Shahrir Samad

KUALA LUMPUR, 23 Feb – UMNO dan Barisan Nasional (BN) harus teguh berpegang kepada prinsip-prinsip pemilihan calon yang menepati kehendak pengundi dari hanya kehendak pimpinan parti.

Demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang berpendapat pendekatan yang dilakukan UMNO/BN ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini adalah sememangnya luar biasa walaupun sebagai pembangkang.

“Banyak yang luar biasa bagi UMNO/BN selepas Pilihan Raya Umum ke-14. Luar biasa keadaan yang perlu dihadapi. Luar biasa tindakan yang perlu diambil.

“UMNO/BN begitu cepat menyesuaikan diri dengan kedudukannya sebagai sebuah parti pembangkang di peringkat persekutuan. Kerana itu, keputusan dibuat begitu cermat berpandukan kepada kehendak masyarakat dan pengundi dan tidak total keutamaan kepada pemimpin bahagian,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut Shahrir, pemilihan calon-calon yang mewakili BN juga adalah dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai kedudukan yang tinggi di dalam parti.

Beliau berkata bermula dengan PRK Cameron Highlands, BN meletakkan calon yang bukan ahli UMNO namun berbekalkan semangat sepasukan jentera parti, pengundi memilih BN.

“Di PRK Semenyih pula, calon BN bukan juga berjawatan tinggi dalam UMNO bahagian, hanya setakat peringkat cawangan dan dikenali di kalangan kepimpinan masjid dan surau.

“PRK Kimanis melihat kemunculan seorang pemimpin baru setelah ramai pemimpin UMNO yang melompat dan meninggalkan UMNO. Berbagai isu yang membawa keresahan terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Shafie Afdal di kalangan pengundi memberi kemenangan kepada calon BN.

“Di PRK Chini, UMNO juga tidak ketengahkan pemimpin tinggi parti. Sebaliknya, dipilih seorang anak muda yang aktif dalam pergerakan belia peringkat Felda. Tidak sukar bagi pengundi dari masyarakat peneroka Felda untuk diterima dan diundi sebagai wakil rakyat mereka.

Tambahnya, calon BN untuk PRK DUN Slim juga bukan pemimpin UMNO yang berkedudukan tinggi namun memegang jawatan peringkat bahagian yang dilantik sambil turut aktif dalam badan bukan kerajaan anak muda.

“Hanya di PRK Rantau, Datuk Seri Mohamed Hassan sebagai calon BN di PRU 14, mengambil tempat lamanya sebagai calon BN untuk DUN Rantau

“Di PRK Tanjung Piai, UMNO mengekalkan kesetiaannya kepada wadah BN. Calon MCA diterima sebagai calon BN sambil terbuktinya UMNO tidak tamak kuasa dan kedudukan,” katanya.

Shahrir yang juga bekas ahli Parlimen Johor Bahru itu turut menambah kedudukan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan persekutuan tidak menjamin jalan yang mudah juga bagi gabungan itu jika tidak mendapat kelebihan di peringkat negeri.

“Kehendak akar umbi, iaitu rakyat dan pengundi, lebih tepat kerana pada PRU 15, UMNO/BN mengetuai lima buah negeri, melebihi PAS, PKR, Dap dan PPBM.

“Kalau diisytihar Sabah, Kedah, Kelantan dan Terenganu sebagai kerajaan negeri PN walaupun hanya di Sabah sahaja, pemimpin PN yang duduk sebagai ketua kerajaan, masih UMNO mendahului dari segi jawatan ketua kerajaan.

“Sungguh luar biasa keadaan politik yang dihadapi kali ini oleh semua parti. Bukan UMNO/BN sahaja. Jadi, jangan difikir UMNO/BN yang perlu memikir secara mendalam langkahnya pada PRU 15 ini,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.