Keberkesanan Sesi PdPR: Banyak Aduan… Terlalu Banyak Kesulitan – Zahida

KUALA LUMPUR, 19 Feb – Pergerakan Puteri UMNO menggesa Kementerian Pendidikan untuk mengkaji semula keberkesanan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang diumum bermula 20 Januari lalu.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, ini kerana banyak luahan yang saya terima daripada para ibu bapa yang terpaksa akur dengan keputusan kerajaan tidak membuka persekolahan bagi sesi bersemuka memandangkan situasi COVID-19 yang masih belum reda.

“Namun setiap kesulitan yang diluah mereka juga punya asas. Itu cabaran yang dilalui bagi suri rumah, cuba bayangkan bagaimana pula bagi ibu yang bekerja atau berniaga kecil-kecilan?” katanya.

Zahida berkata demikian berikutan keluhan berkaitan PdPR yang antara lain tuntutan masa bagi ibu bapa yang bekerja selain perlu menguruskan rumahtangga di samping menyelia anak-anak dalam sesi terbabit.

Jelasnya, dalam berhadapan dengan situasi sukar sekarang, ramai ibu turut terpaksa bekerja untuk menampung kos sara hidup keluarga selepas pendapatan suami terjejas akibat gaji dipotong 30 hingga 50 peratus.

“Turut bersimpati apabila ada ibu mengadu yang beliau rasa sedih dan stress apabila tidak dapat luang masa memantau anak ketika PdPR.

“Lebih menyedihkan bila ibu berkenaan terpaksa berhenti kerja kerana mahu fokus memantau sesi persekolahan anak anak di rumah.

“Ini bukanlah satu langkah penyelesaian yang baik untuk jangka masa panjang.”

Lebih menyedihkan katanya apabila dilaporkan ada ibu bapa terpaksa meminjam ah long kerana ketiadaan wang untuk membeli gajet bagi anak menjalani PdPR.

“Situasi ini menunjukkan bermacam-macam kesulitan dan masalah yang akan wujud berbanding kebaikan kepada anak-anak dan ibu bapa.”

Sehubungan itu, beliau berharap agar kerajaan mengambil langkah mendapatkan pandangan lebih ramai pakar bagi merangka SOP paling bersesuaian untuk buka semula sesi persekolahan secara bersemuka.

“Mewujudkan SOP ketat dengan separuh kapasiti pelajar dalam satu kelas pada tiap sesi persekolahan atau sesi persekolahan ‘bergilir’ tiga atau dua hari sahaja dalam seminggu mengikut kesesuaian.

“Walau bagaimanapun tetaplah keselamatan, kesihatan anak-anak dan semua warga pendidik yang paling utama, dengan langkah-langkah serta persiapan rapi daripada semua pihak, kami yakin sesi kelas bersemuka dapat dijalankan dengan selamat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.