FDI: ‘Tewas’ Dengan Negara Jiran, Kerajaan Perlu Ambil Langkah Segera – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Pengaliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia jatuh 68% ke USD2.5 bilion pada 2020 dan ‘tewas’ kepada negara-negara jiran di mana FDI Singapura cuma jatuh 37% kepada USD58 bilion, Indonesia 24% ke USD18 bilion dan Vietnam 10% ke USD14 bilion, sebagaimana laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD).

Berhubung perkara tersebut, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan beberapa langkah segera perlu diambil untuk memperbaiki keadaan ini yang memerlukan ‘political will’ yang kuat untuknya.

“Antaranya kerajaan perlu berani dan bersedia untuk ‘sitdown’ dengan pelabur dan pemain industri.

“Kestabilan politik perlu dikembalikan segera selepas ancaman COVID-19 dapat ditangani.

“Proklamasi darurat dikhuatiri menyebabkan pelabur kurang yakin dengan kemungkinan dasar ‘nationalizing’,” ujar Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam satu hantaran di Facebook.

Jelasnya lagi, kerajaan juga perlu menawarkan insentif pengurangan cukai yang lebih menarik kepada perusahaan asing yang mahu beroperasi di negara ini.

Begitu juga memantapkan sektor domestik seperti pembuatan, perkhidmatan, teknologi maklumat dan lain-lain.

“Kitaran ekonomi domestik yang sihat mampu menarik minat pelabur langsung asing.

“Dan paling penting kebajikan rakyat perlu diutamakan bagi memperlihatkan Malaysia destinasi yang selamat kepada pelabur,” kata Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Ulas Ahmad Zahid lagi, Malaysia suatu ketika dulu adalah antara kuasa ekonomi paling pesat di rantau ini kini ketinggalan berbanding negara jiran dalam perang ekonomi melawan COVID-19.

“Malah jika dilihat pada graf sumber dari Bank Dunia dan unjuran MIER, penurunan yang agak ketara pada ekonomi Malaysia sebanyak 2.9% pada tahun 2019-2020.

“Benar COVID-19 menguncupkan ekonomi global, tetapi kestabilan politik tunjang utama dalam menarik minat pelabur langsung asing bertapak di negara ini.

“Segan juga terbaca kenyataan Ketua Eksekutif Eurocham yang menyebut Malaysia memerlukan lebih dari beberapa kata-kata yang bagus dan ‘window dressing’,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.