Laksanakan Undi 18, Generasi Muda Mesti Diberi Hak Dan Kepercayaan – Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Generasi muda mesti diberi hak dan kepercayaan untuk menentukan masa depan mereka, ujar Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan.

Ciapnya di Twitter, terutamanya dengan cabaran menggunung yang dihadapi generasi itu sekarang.

“Ini semua dah dibahas panjang awal dahulu. Kesimpulan: kena ‘gentleman’ la. Benda dah setuju, ‘proceed’ je la. #Undi18,” twitnya berhubung pelaksanaan had umur kelayakan mengundi yang telah diturunkan ke 18 tahun.

Shahril yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia turut berkata, had umur kelayakan mengundi 18 tahun adalah perkara yang benar di mana ahli-ahli Parlimen telah berbahas serta menyokongnya.

“Jangan tukar pendirian semata-mata undi muda tak berpihak kepada parti pemerintah. Cari jalan menang, bukan jalan lari.

“Kalau 100% fikir kepentingan politik pun, agak-agak sengaja lewatkan ni orang tak marah? Yang lebih 21 tahun pun akan hukum,” ujarnya lagi.

Begitu juga katanya berhubung dengan undi 18 itu, menang atau kalah adalah perkara yang belum tentu.

“Tapi pihak yang dilihat ‘main kasar’, dijamin hilang kredibiliti. Pertimbangan pemimpin politik muda harus menjangkau jangka pendek.

“Kalau halang #Undi18 hari ini, sekalipun ‘survive’ PRU15 (Pilihan Raya Umum 15), siap sedia ‘batch’ itu takkan lupa sewaktu PRU16 (Pilihan Raya Umum 16),” tegasnya.

Untuk rekod, pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun dengan mendapat lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan.

Begitu juga pada 25 Julai tahun yang sama, ia diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga.

Dengan kelulusan tersebut, pilihan raya akan datang akan menyaksikan pengundi berumur 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding umur 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.