PKP ‘Paksa’ Hotel, Peniaga Tukar Strategi Perniagaan Demi Kelangsungan

PORT DICKSON, 13 Feb – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ketika ini memaksa hampir semua peniaga mahupun pihak perhotelan menukar strategi perniagaan mereka demi kelangsungan hidup.

Pengurus Hotel Klana Beach Resort Port Dickson Che Dzarudin Che Omar berkata pihaknya terpaksa mencari alternatif lain bagi menampung kos operasi dengan mengadakan jualan makanan secara bawa pulang, penghantaran kepada pelanggan dan hidangan bajet.

“Selain itu, kami juga mengadakan jualan but kereta di kawasan perumahan yang berdekatan dengan mempromosikan lauk-pauk Negeri Sembilan dengan harga berpatutan dan ia mendapat sambutan,” katanya kepada Bernama.

Mengakui hotel berkenaan terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM1 juta susulan pembatalan tempahan acara dan majlis serta tempahan bilik dalam tempoh PKP dilaksanakan, Che Dzarudin berkata pihaknya kini tidak boleh lagi bergantung kepada pendapatan tempahan bilik semata-mata.

“Pelaksanaan PKP ini bukan sahaja menggusarkan pekerja hotel malah pengurusan hotel juga turut berdepan tekanan kewangan yang tinggi untuk meneruskan perniagaan. Jadi, kami sedaya upaya mengukuhkan kedudukan kewangan agar pekerja sedia ada tidak berdepan dengan kemungkinan dibuang kerja,” katanya.

Peniaga gerai makanan dan minuman, Shahdan Mohd Shahlan, 26, turut menggunakan alternatif sama secara jualan but kereta di tempat-tempat tumpuan awam seperti di tepi pasar raya serta menerima tempahan penghantaran makanan memandangkan tidak ramai pelanggan yang datang ke gerainya.

“Kebiasaan awal-awal pagi sudah ramai pelancong dan orang awam memenuhi tempat saya terutama pada Sabtu dan Ahad tetapi sekarang sunyi dan sepi…nak terima dua atau tiga pelanggan pun agak susah sekarang ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan Haziz Hassan berkata negeri itu menyaksikan enam hotel terpaksa menutup sementara operasi sehingga 18 Feb.

Beliau berkata penutupan itu berikutan hotel berkenaan kehilangan tempahan lebih 80 peratus melibatkan tempahan bilik dan penganjuran kursus, seminar dan majlis keraian, susulan peningkatan kes COVID-19.

“Kami berharap agar pelaksanaan PKP dilonggarkan sedikit dengan membenarkan pelancong tempatan memanfaatkannya sekali gus boleh menggerakkan operasi perhotelan serta membantu pekerja yang terjejas.

“Kami tidak mahu lebih banyak hotel terpaksa menutup perniagaan masing-masing kerana kekurangan hasil pendapatan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.